Berita Utama

Bendera Malaysia dikibar terbalik di SJK dekat Kluang

Posisi sudah dibetulkan selepas kerani tak sedar bendera terbalik

KLUANG, 14 Zulhijjah 1441H, Selasa – Bendera Malaysia terbalik di sekolah jenis kebangsaan di Kluang sudah dibetulkan.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, pihaknya membuat siasatan sebaik sahaja dimaklumkan.

“Hasil siasatan di sekolah berkenaan, pagi tadi mendapati insiden berkenaan berikutan kerani tersilap menaikkan bendera dan ia tidak disedari.

“Namun ia sudah dibetulkan selain nasihat sudah diberikan supaya pihak sekolah lebih berhati-hati selepas ini, ” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Gambar kejadian itu tular sejak malam tadi dan didakwa dikesan 4.30 petang semalam oleh orang awam yang melalui di hadapan sekolah berkenaan.

Aduan dan teguran dibuat menerusi akaun Facebook sekolah terbabit, namun sehingga 9 malam tadi bendera berkenaan tidak dibetulkan.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Pendidikan Johor, Shaharuddin Saari berkata, Pejabat Pendidikan Daerah Kluang sudah diarahkan untuk membuat pemeriksaan di sekolah berkenaan.

“Sekolah berkenaan sudah membetulkan pemasangan bendera Malaysia dan turut dinasihatkan supaya lebih berwaspada kerana ia membabitkan sentimen awam, ” katanya.

Sebuah lagi insiden pemasangan bendera terbalik dikesan di taman perumahan, di Kluang, tular sejak pagi tadi.

Abduh ketika dihubungi pula berkata, polis sedang menyiasat kes berkenaan.

Netizen di media sosial juga mempersoalkan mengapa insiden bendera terbalik kerap berlaku ketika bulan kemerdekaan negara bakal berlangsung.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button