Cabar Jawi: ADUN DAP hina perintah Sultan Pahang
Yu Hui derhaka, perlu tarik balik kes mahkamah serta mohon ampun
BANGI, 14 Zulhijjah 1441H, Selasa – Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) membidas, tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, Chow Yu Hui memfailkan permohonan kebenaran di mahkamah untuk mencabar perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan Pahang mewajibkan tulisan Jawi digunakan di papan tanda iklan.
Menganggap tindakan itu sebagai perbuatan bodoh sombong, Ir Lukman Al Hakim mempersoalkan, sama ada Yu Hui maklum bahawa ketetapan yang mewajibkan tulisan Jawi adalah titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah pada 13 November tahun lalu.
“Adakah tuan sedar tindakan memfailkan permohonan di mahkamah bagi mencabar ketetapan tersebut merupakan satu tindakan derhaka dan menghina YDPA, bodoh sombong serta buta sejarah?,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Memberi pencerahan kepada Yu Hui, Lukman menegaskan, sebelum ADUN Tras itu lahir ke bumi Malaysia yang bertuah ini pada tahun 1983, bahkan ketika moyangnya masih berada di tanah besar China, tulisan Jawi terlebih dahulu ‘lahir’ hasil adaptasi bahasa Arab yang dibawa oleh para pedagang Arab ke Tanah Melayu pada abad ke-10.
Berikutan itu, katanya, tulisan ini merupakan identiti negara yang mempunyai kegemilangan yang tersendiri.
“Selari dengan perkembangan agama Islam di nusantara pada abad ke-11 hingga abad ke-14, tulisan Jawi berkembang pesat sehingga menjadi medium tulisan, komunikasi serta bahasa ilmu yang utama di Tanah Melayu dan seluruh kawasan nusantara.
“Bahkan, jika dilihat dokumen-dokumen perjanjian Raja-Raja Melayu dengan pihak British serta pengisytiharan kemerdekaan juga ditulis menggunakan tulisan Jawi.
“Saya amat yakin tuan tidak mempelajari semua sejarah penting negara ini kerana tuan bersekolah di SJKC Ketari,” sindirnya.
Pun begitu, Lukman berkata, sewajarnya Yu Hui sebagai seorang ADUN sejak tahun 2013 amat arif berkenaan kedudukan Jawi yang merupakan tulisan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang dilindungi Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 152.
Selain itu, katanya, ia juga turut termaktub di dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dalam Perkara 9 dan 10.
“Justeru, mana-mana pihak yang menentang dan mempersoalkan penggunaan dan pemerkasaan tuisan Jawi boleh didakwa kerana melanggar Akta Hasutan 1948.
“Saya menyeru tuan menarik balik kes mahkamah tersebut, memohon ampun dan merafak sembah kepada YPDA dan kembali mempelajari sejarah, identiti serta Perlembagaan Persekutuan sebagai seorang ADUN yang bertanggungjawab
“Masih belum terlambat bagi tuan untuk menjadi warganegara yang bijak, taat dan patuh,” katanya.
Sebelum ini, Yu Hui memfailkan permohonan mencabar ketetapan kerajaan Pahang untuk mewajibkan tulisan Jawi di papan tanda dan iklan di premis perniagaan di negeri itu.
Permohonan itu dibuat 30 Julai lalu di Mahkamah Tinggi Kuantan bagi menyemak semula arahan yang dikeluarkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan berhubung perkara itu, sebelum ini.
Terdahulu, kerajaan Pahang memutuskan semua premis perniagaan dan papan tanda jalan di negeri itu menggunakan tulisan Jawi berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu.
Penggunaan tulisan Jawi adalah selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Sultan Pahang supaya tulisan berkenaan diperkasakan di negeri itu.