Dunia

COVID-19: 1 kematian setiap 7 minit di Iran

Iran nafi laporan kes sebenar 3 kali ganda jumlah asal

TEHRAN, 14 Zulhijjah 1441H, Selasa – Satu kematian direkodkan setiap tujuh minit di Iran, akibat jangkitan wabak COVID-19, lapor stesyen televisyen negara itu. 

Jurucakap Kementerian Kesihatan Iran, Sima Sadat Lari berkata, 215 kematian dalam tempoh 24 jam terakhir, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 17,405.

Jumlah kes juga meningkat 2,598 menjadikan 312,035 kes – peningkatan dikatakan berpunca daripada kegagalan mengamalkan penjarakan fizikal.

Media negara itu melaporkan, kebanyakan rakyat di Iran berada di tempat awam yang sesak tanpa memakai topeng muka dan menjaga penjarakan fizikal. 

Beberapa pakar meragui jumlah tepat kes COVID-19 di Iran. Laporan pusat penyelidikan mendakwa, jumlah kematian mungkin hampir dua kali ganda daripada angka yang diumumkan Kementerian Kesihatan Iran. 

Laporan itu berkata, angka kes COVID-19 rasmi di Iran hanya berdasarkan jumlah kematian di hospital dan mereka yang sudah terbukti positif jangkitan.

BBC yang memetik data dari sumber tanpa nama mendakwa, jumlah kematian di Iran mungkin tiga kali lebih tinggi daripada yang dilaporkan secara rasmi. 

Pihak berkuasa kesihatan Iran bagaimanapun menolak laporan itu dan menegaskan tiada penyembunyian jumlah sebenar dibuat. –  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button