Berita Utama

Gerakkan kempen Komuniti Kita Bebas Arak di seluruh negara

Inisiatif ISMA Gombak henti jualan arak di kawasan Melayu dipuji

BANGI, 14 Zulhijjah 1441H, Selasa – Inisiatif Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Gombak menggerakkan masyarakat setempat untuk bertindak dalam isu penjualan arak di peringkat komuniti wajar dicontohi.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya memuji, langkah yang diambil ISMA Gombak menerusi kempen Komuniti Kita Bebas Arak.

Beliau berkata, kempen di peringkat komuniti itu adalah salah satu usaha untuk menghentikan penjualan arak di kawasan penduduk majoriti muslim di seluruh daerah Gombak.

“Malaysia bebas arak nampak seperti mustahil, tetapi ianya bermula dari diri, keluarga dan masyarakat.

“Inilah sekecil-kecil usaha kita yang mampu kita lakukan, yang bakal berbuah pada satu hari nanti kelak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Haji Aminuddin berkata, kempen itu sangat baik untuk menyatukan komuniti dalam menggerakkan inisiatif berkenaan, yang akan menguntungkan semua pihak dari segi keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.

“Ini juga satu peluang keemasan untuk semua pihak tanpa mengira latar belakang politik untuk bekerjasama.

“Alangkah baiknya jika pelbagai pihak setempat seperti NGO, persatuan penduduk dan masjid, surau dapat bekerjasama dalam menjayakan inisiatif ini,” katanya.

Beliau turut berharap, NGO-NGO Islam di seluruh negara, khususnya ISMA cawangan dapat menggerakkan inisiatif sama.

“Saya pasti banyak juga NGO bukan Islam juga mempunyai visi yang sama, iaitu sebuah komuniti yang sejahtera dan selamat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button