Berita Utama

GPMS bidas mahkamah arah kertas kausa dialih ke bahasa Inggeris

Bawa ke Mahkamah Persekutuan, rujuk kewajipan berbahasa kebangsaan

BANGI, 14 Zulhijjah 1441H, Selasa – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) memfailkan, satu permohonan rujukan ke Mahkamah Persekutuan menyentuh soal berbangkit mengenai kesan peruntukan Perlembagaan untuk menentusahkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, yang mestilah digunakan bagi semua prosiding di mahkamah.

Presidennya, Mohd Alif Anas Md Noor berkata, permohonan ini dibuat di bawah Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan, dibaca bersama Perkara 4(1) dan seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964. 

Beliau berkata, mahkamah telah menetapkan 24 Ogos ini untuk pengurusan kes.

 

“Persoalan berbangkit ini timbul kerana selepas GPMS bersama-sama dengan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) memfailkan saman bagi mengisytiharkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil sebagai bercanggah dan tidak sah di sisi Perlembagaan Persekutuan pada tahun lalu.

“Mahkamah bagaimanapun telah memberikan arahan kepada para peguam yang terlibat agar menterjemahkan semua kertas-kertas kausa yang telah difailkan dalam bahasa Melayu ke dalam bahasa Inggeris, bagi kegunaan mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Mohd Alif berkata, pihaknya percaya arahan seperti ini bercanggah dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, ia juga bercanggah dengan Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan yang memperuntukkan segala prosiding (selain pemberian keterangan oleh seseorang saksi) di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi atau mana-mana Mahkamah Rendah hendaklah dijalankan dalam bahasa kebangsaan. 

“Justeru, tiada sebab mengapa kertas-kertas kausa perlu diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris,” katanya.

 

Beliau menegaskan lagi, sekiranya mahkamah dan segala agensi kerajaan tidak menunjukkan komitmen untuk patuh kepadanya secara ketat dan tegas, justeru jaminan-jaminan yang termaktub dalam Perlembagaan dan undang-undang berkenaan ketinggian serta kesucian bahasa kebangsaan tidak akan mempunyai makna.

“Perlu ditegaskan bahawa GPMS menyokong segala usaha bagi meningkatkan kefasihan dan pengusaan bahasa Inggeris serta bahasa-bahasa ketiga seperti bahasa Arab, Kadazan, Tamil dan Mandarin di kalangan rakyat Malaysia.

“… tetapi menolak bahasa-bahasa tersebut digunakan dalam ruang rasmi, kerana bercanggah dengan Perlembagaan dan undang-undang negara,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button