Berita Utama

Isu Jawi: ADUN DAP wajar dikenakan tindakan Akta Hasutan

Hasut orang lain mempercayai tulisan Jawi rasis, menyusahkan

SHAH ALAM, 14 Zulhijjah 1441H, Selasa – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chow Yu Hui wajar dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan susulan tindakannya memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi mencabar arahan kerajaan Pahang yang mewajibkan tulisan Jawi pada papan tanda dan iklan di premis perniagaan di negeri itu.

Exco Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, tindakan wakil rakyat DAP itu secara tidak langsung menghasut orang lain untuk mempercayai bahawa tulisan Jawi adalah rasis dan menyusahkan.

“Agaknya kenapa ADUN Tras (DAP) ni marah sangat dengan tulisan Jawi? Siap cabar di mahkamah arahan kerajaan Pahang untuk letak tulisan Jawi di papan tanda premis perniagaan.

“Bukan dia tak tahu yang tulisan Jawi tu sebahagian daripada bahasa Melayu yang menjadi Bahasa Kebangsaan seperti termaktub dalam Perlembagaan.

“Bukan dia tak ‘reti’, tapi sengaja buat tak ‘reti’. Sebab apa? Sebab nak tunjuk konon kita rasis bila kita pertahankan,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Shahaniza yang juga ADUN Kuala Sentul itu berkata, bahasa Melayu termasuk tulisan Jawi sepatutnya menjadi bahasa dan tulisan yang menyatupadukan rakyat.

Menurutnya, semua warganegara mesti fasih berbahasa Melayu dan memahami tulisan Jawi.

“Bagaimanapun, kita selama ini tidak pernah mengambil sebarang tindakan kepada mereka yang langsung tidak boleh berbahasa Melayu atas dasar toleransi kaum demi jaga keharmonian bersama,” katanya.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan tindakan ADUN Tras itu adalah strategi DAP mahu mencari publisiti.

“Apapun strateginya, tindakan tersebut ternyata mencabar bukan sahaja kedudukan Bahasa Melayu (berikutan tulisan Jawi adalah sebahagian darinya) seperti yang termaktub dalam Perlembagaan tetapi juga memperlekeh dan perlecehkan titah Sultan Pahang yang mahu tulisan Jawi diperkasakan di negeri ini,” katanya.

Yu Hui memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuantan pada 30 Julai lalu bagi mencabar ketetapan kerajaan Pahang yang mewajibkan tulisan Jawi di papan tanda dan iklan di premis perniagaan di negeri itu berkuatkuasa 1 Januari lalu.

Penggunaan tulisan Jawi itu selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Mustafa Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Sultan Pahang supaya tulisan berkenaan diperkasakan di negeri ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button