Berita Utama

Najib tarik rayuan senarai saksi, kenyataan saksi dalam kes SRC

Mahkamah dimaklumkan mengenai rayuan oleh peguam Najib

PUTRAJAYA, 14 Zulhijjah 1441H, Selasa – Datuk Seri Najib Tun Razak menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya bagi dibekalkan senarai saksi yang ditemu bual Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kenyataan saksi-saksi semasa siasatan dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Seri Kamaludin Md Said, P. Ravinthran dan Datuk Nordin Hassan dengan itu membatalkan rayuan itu.

Mahkamah dimaklumkan mengenai penarikan balik rayuan itu oleh peguam Nur Syahirah Hanipah yang mewakili Najib.

Peguam itu, bagaimanapun, memohon supaya mahkamah merekodkan bahawa bekas perdana menteri berhak untuk membangkitkan isu itu dalam rayuan substantif beliau, dan menurutnya perkara itu telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram berkata beliau tiada sebarang bantahan terhadap permohonan penarikan balik rayuan itu serta hak Najib untuk membangkitkan isu itu dalam rayuan substantifnya.

Pada 15 November 2019, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan Najib bagi mendapatkan senarai saksi dan kenyataan saksi-saksi untuk membolehkan beliau menyediakan pembelaannya.

Najib, 67, memohon senarai saksi dan kenyataan saksi-saksi selepas beliau diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi pada 11 Nov tahun lepas untuk membela diri terhadap tujuh pertuduhan berkaitan menyeleweng RM42 juta dana SRC.

Pada 28 Julai tahun ini, Ahli Parlimen Pekan itu dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun jika gagal membayar denda itu selepas beliau didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi terhadap tujuh pertuduhan itu.

Beliau memperoleh penangguhan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan diputuskan.

Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun bagi kesalahan berkaitan salah guna kuasa, penjara 10 tahun masing-masing bagi tiga kesalahan pecah amanah. Beliau turut dijatuhi hukuman penjara 10 tahun masing-masing bagi tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

Mahkamah Tinggi, bagaimanapun, memerintahkan semua hukuman itu berjalan serentak.

Selepas prosiding mahkamah itu, Syahirah memberitahu media bahawa pihaknya telah mendapat kebenaran mahkamah bagi kehadiran Najib di Mahkamah Rayuan dikecualikan.

Katanya prosiding hari ini hanya membabitkan penarikan balik rayuan dan Najib perlu hadir pada perbicaraan kes rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapinya yang sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button