Normalisasi budaya songsang, jarum halus rosakkan anak bangsa
Subur di media sosial oleh kumpulan berselindung di balik hak asasi
BANGI, 14 Zulhijjah 1441H, Selasa – Kerajaan digesa bersikap lebih tegas dalam menangani penularan budaya songsang di media sosial ketika ini, kata Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.
Beliau berkata, platform media sosial kini dijadikan sebagai medan utama untuk menyebarkan kegiatan negatif tersebut.
Malah, lebih dibimbangi, katanya, apabila terdapat kumpulan-kumpulan yang menggunakan media sosial untuk memastikan normalisasi budaya songsang mudah meresap ke dalam masyarakat.
“Mereka lebih banyak berselindung di sebalik nama hak asasi manusia, tetapi memperjuangkan aktiviti yang banyak menyimpang daripada fitrah manusia,” katanya dalam satu kenyataan.
Ekoran kegiatan normalisasi budaya negatif ini oleh sebahagian kumpulan hak asasi manusia, katanya, ia sekali gus mendorong kepada berleluasanya aktiviti songsang dalam masyarakat.
“Ia adalah jarum halus yang terus merosakkan anak bangsa yang lemah imunisasinya menghadapi cabaran luar yang kuat.
“Tidak terkecuali apabila ada pihak yang mempertikaikan serta memperlekeh usaha pemulihan pihak kerajaan ke atas golongan Mak Nyah sehingga memberikan persepsi negatif kepada usaha pemulihan yang dikemukakan oleh kerajaan.
“Pertikaian ini juga bertitik tolak daripada usaha mereka mempertahankan budaya songsang tersebut masuk ke dalam masyarakat,” katanya.
Justeru, Nik Mohamad Abduh mengharapkan, langkah yang tegas daripada kerajaan bagi menangani isu yang dibangkitkan.
“Penularan budaya songsang yang disokong dengan ruang normalisasi budaya tersebut ke dalam masyarakat merupakan racun yang merosakkan negara dan masyarakat,” katanya lagi.