Berita Utama

Pusat hiburan beroperasi semasa PKPP? Siapa ‘penjaganya’?

Kembalikan Ops BAH, NGO berganding PDRM banteras aktiviti haram

BANGI, 15 Zulhijjah 1441H, Selasa – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menggesa pihak berkuasa membuat pemantauan khas pada pusat-pusat hiburan di seluruh negara yang banyak merosakkan rakyat.

Presidennya, Haji Aminuddin Yahaya berkata, pemantauan itu perlu dilakukan lebih-lebih lagi di premis yang menjual arak dan mempunyai ‘track record’ buruk membabitkan aktiviti-aktiviti haram seperti pelacuran, dadah dan sebagainya. 

“Kerajaan juga harus memandang isu ini melangkaui isu SOP PKPP ataupun isu kesihatan (COVID-19) sahaja kerana pusat-pusat ini banyak merosakkan masyarakat kita selama ini. 

“Satu persoalan lagi, apakah ada ‘penjaga’ di belakang pusat-pusat hiburan ini sehingga mereka berani beroperasi secara haram sebegini walaupun kita semua maklum denda atau hukuman melanggar SOP PKPP sangatlah berat. 

“Perkara ini perlu diambil kira juga kerana segala tindakan yang bakal diambil perlu dibuat secara menyeluruh dan benar-benar menyelesaikan masalah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, dilaporkan bahawa terdapat sebahagian besar premis hiburan di seluruh negara menjalankan aktiviti perniagaan meskipun kerajaan masih belum memberikan kebenaran meneruskan operasi mereka.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, berdasarkan pemantauan yang dijalankan, ada sebahagian besar pemilik dan pengurusan pusat hiburan yang menjalankan aktiviti mereka secara haram.

Beliau berkata, pihak polis tidak akan berkompromi dan akan terus mengambil tindakan yang sepatutnya terhadap mana-mana premis yang masih berdegil menjalankan aktiviti hiburan mereka.

Sementara itu, mengulas mengenai tuntutan pihak yang mahu pembekuan lesen arak ditarik semula, Haji Aminuddin mempersoalkan pendirian kerajaan terhadap isu itu.

“Apakah kerajaan akan menolak tuntutan mereka atau tidak? Kerana biasanya kerajaan akan memberikan respon dalam isu sebegini.

“Jika kerajaan masih meneruskan penggantungan pemberian lesen penjualan arak, maka kita mahu kerajaan pantau juga secara ketat penjualan-penjualan arak tanpa lesen juga.

“Kerana kita tidak mahu dasar kerajaan hanya tinggal dasar, dan akhirnya implementasi di bawah tidak berlaku dengan baik dan serius pun,” katanya.

Sejajar dengan itu, beliau berkata, ekosistem aktiviti yang mendatangkan kerosakan kepada masyarakat seperti pusat hiburan dan penjualan arak perlu dipandang serius 

“Waktu fasa PKPP inilah yang paling baik untuk dijadikan titik tolak untuk mengubah pelbagai perkara yang mungkin mustahil untuk diubah atau disentuh oleh kerajaan selama ini. 

“Sebab itu kita menyeru agar kerajaan kembalikan Operasi Banteras Aktiviti Haram (Ops BAH) yang pernah dilaksanakan satu ketika dahulu di mana NGO-NGO dilibatkan sekali dalam operasi tersebut,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button