Berita Utama

Segera jadikan luar bandar hab ekonomi baharu Malaysia

Beri insentif kepada Felda bangunkan aset tanaman, ternakan

BANGI, 14 Zulhijjah 1441H, Selasa – Stimulus ekonomi negara mesti mempunyai strategi khusus untuk membantu ekonomi luar bandar, apatah lagi apabila harga komoditi terjejas teruk akibat tekanan kepada permintaan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kawasan luar bandar Malaysia mesti dijadikan hab pertumbuhan baharu yang lestari kepada ekonomi Malaysia.

Justeru, beliau mengetengahkan beberapa strategi khusus luar bandar yang perlu dilihat oleh pihak kerajaan, antaranya membabitkan Felda.

“Berikan insentif untuk mereka segera membangun aset mereka kepelbagaian penanaman dan penternakan.

“Bidang penternakan adalah sangat berpotensi dan mampu mengurangkan kebergantungan kita kepada import daging luar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad turut menyarankan, supaya kerajaan menjana semula industri perikanan secara komprehensif, supaya menjadi sumber yang cukup kepada negara dan mempunyai lebihan untuk dieksport.

“Ketiga, Malaysia mesti mempunyai strategi khusus dengan beberapa negara seperti Timur Tengah sebagai ‘lembah makanan’ mereka.

“Kekurangan tanah subur, air dan pekerja telah menjadikan negara-negara Timur Tengah sangat bergantung kepada import bahan makanan.

“Malaysia mesti mendahului persaingan dengan menawarkan kepakaran, sumber dan logistik untuk menjadi pengeksport utama sumber makanan kepada negara Timur Tengah,” katanya.

Selain itu, Mohamad turut mencadangkan, supaya kemahiran generasi muda luar bandar dipertingkatkan bersesuaian dengan ekonomi di kawasan berkenaan.

“Mereka tidak boleh berhijrah dalam keadaan ekonomi yang memburuk begini.

“Mereka mesti diberikan kemahiran sesuai dengan kepentingan ekonomi luar bandar dan membangunkan daerah kehidupan mereka,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close