Berita Utama

Bendera terbalik: Maaf hanya SOP, capai matlamat guris hati bangsa

Cuba salahkan pekerja sekolah, adakah mereka datang dari Marikh?

BANGI, 15 Zulhijjah 1441H, Rabu – Ikatan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (iPeguam) menyelar pihak sekolah yang memasang bendera Jalur Gemilang secara terbalik.

Pengerusinya, Mohd Luttfi Abd Khalid menyifatkan, kejadian tersebut walaupun dianggap sebagai terpencil, namun hakikatnya ia merupakan satu bentuk provokasi.

“Kenyataan memohon ‘maaf’ adalah SOP (standard operasi prosedur) yang lazim digunakan sesudah itu, tapi matlamat sudah tercapai.

“Kemudian akan timbullah suara-suara ‘rahmat’ yang dengan penuh ‘tulus’ akan meminta supaya bangsa dan umat yang terguris itu berlapang dada terhadap ‘khilaf yang tidak disengajakan’ itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Nurulhuda Mohd Salleh berkata, insiden Jalur Gemilang yang digantung secara terbalik di sekolah rendah di Klang dilakukan secara tidak sengaja oleh seorang pekerja pembersihan institusi pendidikan itu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati Jalur Gemilang itu digantung pada dinding sekolah oleh pekerja bertaraf pemastautin tetap dan dibantu seorang wanita tempatan kira-kira jam 5 petang, kelmarin.

Katanya, selepas siap menggantung bendera itu, pekerja berkenaan kembali untuk melihat kedudukan Jalur Gemilang tersebut namun mendapati ia telah dipasang secara terbalik.

“Pekerja itu segera membuka kembali bendera berkenaan dan memasangnya dengan betul dalam masa kira-kira 10 minit.

“Namun, dalam tempoh sesingkat itu, seorang individu yang kebetulan berada di luar pagar sekolah berkenaan sempat mengambil gambar Jalur Gemilang dipasang terbalik dan tularkannya di Facebook dengan memainkan isu perkauman tanpa usul periksa,” katanya.

Membidas perkara itu, Mohd Luttfi berkata, pihak yang terbabit dalam insiden berkenaan kononnya mahu menunjukkan sifat patriotik, namun tersalah langkah apabila memasang bendera secara terbalik.

Beliau menegaskan, tindakan pihak tertentu menjadikan pekerja sekolah sebagai kambing hitam sebagai sesuatu yang ‘menghairankan’.

“Salahkan pekerja sekolah. Macam pernah dengar sahaja. Pekerja sekolah itu dari planet Marikh ke?,” soalnya sinis.

Pada masa sama, beliau kesal simbol negara seperti Jalur Gemilang termasuk Jata Negara kini menjadi bahan mainan, di mana maruahnya dicemari tanpa rasa bersalah oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Kita hairan dan tertanya-tanya apakah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sudah menjadi subjek sampah bagi mereka?

“Kita sepatutnya sudah lama menggesa pihak kerajaan dan Kementerian Pendidikan menyiasat dan menjalankan ‘audit bahasa Melayu’ ke atas semua institusi pendidikan swasta di negara ini, lebih-lebih lagi mereka yang senang sahaja menjadikan pekerja sekolah sebagai kambing hitam.

“Apakah di belakang ini semua terdapat ‘penaja-penaja’ yang kebal dari tindakan politik dan undang-undang?,” soalnya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button