Berita Utama

Insiden Jalur Gemilang terbalik tak disengajakan: Polis

Polis nasihat henti sebar gambar elak ganggu ketenteraman awam

SHAH ALAM, 15 Zulhijjah 1441H, Rabu – Insiden Jalur Gemilang yang digantung secara terbalik di sebuah sekolah di Batu 4, Jalan Kapar dekat sini, yang tular di media sosial hari ini dilakukan secara tidak sengaja oleh seorang pekerja pembersihan institusi pendidikan itu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Nurulhuda Mohd Salleh berkata siasatan awal mendapati Jalur Gemilang itu digantung pada dinding sekolah oleh pekerja bertaraf pemastautin tetap dan dibantu seorang wanita tempatan kira-kira pukul 5 petang kelmarin.

Beliau berkata selepas siap menggantung bendera itu, pekerja berkenaan kembali untuk melihat kedudukan Jalur Gemilang tersebut namun mendapati ia telah dipasang secara terbalik.

“Pekerja itu segera membuka kembali bendera berkenaan dan memasangnya dengan betul dalam masa kira-kira 10 minit.

“Namun, dalam tempoh sesingkat itu, seorang individu yang kebetulan berada di luar pagar sekolah berkenaan sempat mengambil gambar Jalur Gemilang dipasang terbalik dan tularkannya di Facebook dengan memainkan isu perkauman tanpa usul periksa,” katanya dalam satu kenyataan.

Nurulhuda turut menasihati orang ramai supaya berhenti menyebarkan gambar tersebut kerana tindakan mengganggu gugat ketenteraman awam adalah satu kesalahan.

Susulan kes itu katanya, timbalan pengerusi pengelola sekolah berkenaan membuat laporan polis bagi menafikan institusi pendidikan itu sengaja memasang Jalur Gemilang secara terbalik. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button