Berita UtamaIstimewa

Isu bendera: ‘Serangan kaum’ respon MCA mencurigakan

Insiden berlaku setiap bulan kemerdekaan, bukan satu kebetulan

BANGI, 15 Zulhijjah 1441H, Rabu – Alasan ‘tidak sengaja’ dalam kejadian pemasangan bendera terbalik sudah lapuk dan sering kali digunakan pada peristiwa-peristiwa yang berlaku sebelum ini, termasuk ketika zaman Pakatan Harapan (PH) memerintah.

Kejadian Jalur Gemilang dipasang terbalik dipercayai berlaku di sekolah rendah di Klang, Selangor dan sekolah SJK di Kluang, Johor yang tular di media sosial sejak, semalam.

Bagaimanapun, reaksi Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon terhadap isu berkenaan disifatkan sebagai sangat tidak profesional, tidak matang dan mencurigakan.

Hang Soon berkata, selepas disiasat, didapati kedua-dua insiden itu berlaku secara tidak sengaja dan beliau tidak mahu membincangkan kaum pekerja-pekerja yang terbabit.

Membidas respon itu, Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, sudah terang lagi bersuluh insiden sebegini yang berulang setiap tahun ketika bulan kemerdekaan, bukan satu kebetulan apatah lagi sesuatu yang tidak disengajakan. 

Lebih parah lagi, tegasnya, apabila netizen berang kerana peristiwa ini berlaku di sekolah vernakular, manakala Hang Soon pula bersungguh-sungguh mempertahankan seolah-olah itu adalah satu ‘serangan’ terhadap kaum tertentu. 

“Siapa ‘kaum tertentu’ yang dimaksudkan itu? Apa yang beliau risaukan sebenarnya? Kemarahan rakyat terhadap ‘kaum tertentu’ atau ke atas ‘institusi’ sekolah vernakular itu sendiri? Apakah ada sesuatu yang disorokkan?,” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Makin mencurigakan, katanya, apabila Hang Soon sendiri membalas komen netizen dan menyatakan pekerja sekolah yang memasang bendera secara terbalik itu adalah seorang Melayu. 

“Apa yang beliau cuba buktikan sebenarnya? Tidak kira apa kaumnya pun, yang salah tetap salah. Anda nilaikanlah sendiri. 

“Saya sudah banyak kali dilabel rasis apabila mengkritik politikus-politikus MCA, DAP dan GERAKAN tetapi tidak mengapalah. 

“Jika menyatakan kebenaran bagi menyedarkan anak watan, saya terima sahaja tohmahan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Haji Aminuddin turut mengingatkan rakyat bahawa Hang Soon adalah calon MCA di kerusi majoriti Melayu iaitu di Tanjung Malim. 

“Kerusi ini diberikan oleh BN untuk ditandingi oleh MCA sejak 1958 lagi, iaitu selama 14 kali pilihan raya. Fikir-fikirkan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button