Berita UtamaDunia

Singapura catat 908 kes baharu, majoriti pekerja tinggal di asrama

Kementerian jangka kes harian meningkat dalam beberapa hari

SINGAPURA, 15 Zulhijjah 1441H, Rabu – Singapura mengesahkan 908 kes baharu jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam dengan majoriti melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura dalam data ringkas yang dikeluarkan pada tengah hari ini, kebanyakan pekerja telah diuji semasa tempoh pengasingan atau kuarantin meskipun tidak menunjukkan bergejala.

Mereka adalah kumpulan pekerja terakhir yang diuji dan dari asrama dengan risiko jangkitan COVID-19 yang tinggi.

Oleh itu, kementerian menjangkakan kes harian akan meningkat dalam masa beberapa hari akan datang sebelum kembali berkurangan selepas pembersihan asrama selesai.

“Kami mengikut jadual untuk membersihkan semua asrama pada 7 Ogos, kecuali beberapa blok yang dijadikan kemudahan kuarantin.

“Ketika ini terdapat 9,700 pekerja di kemudahan kuarantin ini. Mereka akan menjalani tempoh pengasingan selama 14 hari dan tertakluk kepada ujian akhir sebelum mereka kembali bekerja,” jelasnya.

Menurut kementerian itu lagi, terdapat empat kes dalam komuniti dan empat kes import yang dilaporkan hari ini.

Kes terbaharu tersebut menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di republik itu kini sebanyak 54,254 kes.

Menerusi data lengkap yang dikeluarkan lewat semalam, Singapura mengklasifikasikan 725 kes sebagai kes import, 2,184 kes komuniti dan 50,437 penghuni asrama.

Sehingga kini, 27 orang maut akibat komplikasi jangkitan COVID-19 di sini.

Tiada kluster baharu dikenal pasti semalam. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close