Berita Utama

Tiada rakyat Malaysia dalam insiden letupan di Beirut

'Malaysia tumpang bersedih, doakan rakyat Lubnan tabah'

KUALA LUMPUR, 15 Zulhijjah 1441H, Rabu – Kementerian Luar Negeri mengesahkan tiada rakyat Malaysia terbabit dalam insiden letupan dahsyat yang menggegarkan ibu kota Beirut pada Selasa.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata berdasarkan laporan awal daripada Perwakilan Malaysia di Beirut, semua rakyat Malaysia di Lubnan selamat dan dinasihatkan agar terus kekal berada di rumah masing-masing.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan rasa sedih dengan insiden yang mengorbankan sekurang-kurangnya 79 penduduk tempatan dan mencederakan lebih 4,000 yang lain.

“Malaysia tumpang bersedih dan sentiasa mendoakan rakyat Lubnan yang kita percaya amat tabah mendepani ujian ini.

“InsyaAllah, Malaysia akan bantu apa sahaja yang terdaya,” katanya seperti dipetik media tempatan, hari ini.

Kejadian pada kira-kira pukul 6 petang waktu tempatan (11 malam waktu Malaysia) di gudang dekat pelabuhan itu menjejaskan beratus-ratus kediaman dan bangunan berhampiran, termasuk kediaman bekas perdana menteri Saad Hariri.

Kementerian Dalam Negeri dalam pada itu memaklumkan gudang itu dipercayai menyimpan ammonium nitrat secara haram sejak enam tahun lalu.

Antara yang terbunuh adalah Setiausaha Agung Parti Kataeb, Nazar Najarian.

Sementara itu, Perdana Menteri, Hassan Diab menyifatkan kejadian itu sebagai ‘malapetaka’ dan individu bertanggungjawab akan dikenakan tindakan tegas.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button