Berita Utama

Cemari sungai Selangor: 91 pihak dikenakan tindakan mahkamah

JAS Selangor keluarkan 106 kompaun dengan nilai RM212,000

BANGI, 17 Rabiulawal 1442H, Selasa – Sebanyak 91 pihak yang melepaskan sisa kimia dan bahan pencemaran sungai di Selangor sepanjang tempoh sembilan bulan pertama tahun ini dikenakan tindakan mahkamah.

Melalui tindakan yang diambil Jabatan Alam Sekitar (JAS) itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata, denda keseluruhan RM915,000 dikenakan ke atas mereka.

Katanya, sepanjang tempoh itu juga 106 kompaun dengan nilai keseluruhan RM212,000 dikeluarkan JAS Selangor atas kesalahan sama yang turut meliputi 91 yang dikenakan tindakan mahkamah itu.

“Selain JAS Selangor, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) turut mengeluarkan dua notis pemberitahuan kesalahan, dua surat arahan, satu tindakan perobohan serta satu kertas siasatan dibuka bagi kes pencemaran sungai,” katanya seperti dilapor Berita Harian hari ini.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Dewan Undangan negeri (DUN) Selangor hari ini bagi menjawab soalan lisan Datuk Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) mengenai jumlah kompaun dan tindakan penguatkuasaan dimabil berkaitan pencemaran sungai.

Loy Sian berkata, lapan pihak berkuasa tempatan (PBT) turut mengenakan tindakan dengan mengeluarkan kompaun terhadap pesalah yang melakukan pencemaran sungai.

Jelasnya, Majlis Bandaraya Shah Alam mengeluarkan lima kompaun berjumlah RM5,000, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (10 kompaun berjumlah RM5,250), masing-masing dua membabitkan Majlis Perbandaran Klang dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya serta Majlis Perbandaran Selayang pula membabitkan kompaun berjumlah RM40,000.

Sementara, Majlis Perbandaran Kajang (211 kompaun), Majlis Perbandaran Kuala Langat (kompaun berjumlah RM3,500) dan Majlis Daerah Kuala Selangor (kompaun berjumlah RM3,400).

Loy Sian berkata, langkah kawalan dan tindakan kerajaan negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam mengatasi pencemaran sumber air adalah berdasarkan 11 usaha dalam Pelan Tindakan Bersepadu Menangani Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor.

“Antara usaha berkenaan adalah kajian semula perundangan Enakmen LUAS 1999 membabitkan peningkatan jumlah denda, kompaun dan penjara, mengadakan penyelarasan antara agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.

“… mempergiatkan pemantauan berkala bagi pematuhan syarat kepada premis berlesen oleh LUAS serta mengenal pasti peralatan mengesan pencemaran bau yang bersesuaian.

“Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor sentiasa memantau keadaan rizab sungai dan akan melaporkan kepada LUAS serta PBT sekiranya terdapat aktiviti menjejaskan kualiti air sungai,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button