Berita Utama

ADUN DAP bantah Jawi, PEMBELA serah memorandum pada istana

Rakyat dukung titah Agong dalam isu daulatkan Islam, Melayu, Raja

KUANTAN, 16 Zulhijjah 1441H, Khamis – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) negeri Pahang hari ini menyerahkan memorandum kepada pihak Istana berhubung tindakan ADUN Tras DAP mencabar ketetapan kerajaan negeri mewajibkan penggunaan tulisan Jawi di papan tanda dan iklan.

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, rakyat negeri Pahang akan terus mendukung titah Yang di-Pertuan Agong terutamanya dalam mendaulatkan Islam, kedudukan bangsa Melayu serta Raja-Raja.

“Alhamdulillah, hari ini pimpinan-pimpinan NGO-NGO Islam PEMBELA di negeri Pahang berjaya menyerahkan memorandum sokongan kepada pihak Istana dalam isu pencabaran ADUN Tras (DAP) di peringkat mahkamah mengenai penggunaan tulisan Jawi di papan tanda.

“Usaha pemerkasaan tulisan Jawi di negeri Pahang dimulakan oleh Al-Sultan Abdullah, yang juga merupakan Yang di-Pertuan Agong sekarang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, ADUN Tras DAP, Chow Yu Hui memfailkan permohonan mencabar ketetapan kerajaan negeri Pahang mewajibkan penggunaan tulisan Jawi di papan tanda dan iklan di negeri itu.

Permohonan itu dibuat 30 Julai lalu di Mahkamah Tinggi Kuantan bagi menyemak semula arahan yang dikeluarkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan berhubung perkara itu, sebelum ini.

Terdahulu, kerajaan Pahang memutuskan semua premis perniagaan dan papan tanda jalan di negeri itu menggunakan tulisan Jawi berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu.

Penggunaan tulisan Jawi adalah selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Sultan Pahang supaya tulisan berkenaan diperkasakan di negeri itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button