Akibat sekatan, ribuan pesakit di Yaman risiko hilang nyawa
93 peratus alat perubatan sudah berfungsi lebih dari jangka hayat
SANA’A, 16 Zulhijjah 1441H, Khamis – Menteri Kesihatan Yaman memberi amaran bahawa ribuan pesakit di negara itu berisiko tinggi kehilangan nyawa akibat daripada sekatan dikenakan pakatan gabungan diketuai Arab Saudi, selain keputusan organisasi kemanusiaan yang menghentikan bantuan ke negara dilanda perang itu.
Dalam satu sidang media di ibu negara hari ini, Taha al-Mutawakel berkata, sekatan ketat yang dikenakan di Yaman menghalang bantuan perubatan.
Katanya, 93 peratus alat perubatan di negara itu telah berfungsi melebihi jangka hayat dan kebanyakannya telah berhenti berfungsi.
Beliau berkata, pemimpin Arab Saudi tidak membenarkan bekalan ubat-ubatan dibawa masuk ke negara itu, sekali gus menjadikan keadaan pesakit, terutama mereka yang bergelut dengan barah dan tumor menjadi lebih teruk.
Katanya, banyak organisasi kemanusiaan antarabangsa secara rasmi mengumumkan untuk menarik diri dari memberi bantuan ke negara itu, susulan penutupan Lapangan Terbang Antarabangsa Sana’a dan penangguhan kiriman bahan bakar.
Kesal dengan perkara itu, Taha berkata, bantuan kemanusiaan yang dihentikan itu akan memberi kesan buruk ke atas sektor kesihatan Yaman, ditambah pula dengan penutupan sekitar 162 pusat kesihatan di tengah-tengah pandemik COVID-19 melanda dunia.
Pada masa sama, beliau menggesa supaya menghentikan sekatan serta membenarkan kemasukan ubat-ubatan dan minyak secara berterusan di Yaman.
Selain itu, Taha berkata, hospital di Yaman akan menghentikan operasi mereka berikutan kekurangan minyak, selain menyatakan bahawa penjana oksigen perubatan kini hanya berfungsi sebanyak 50 peratus. -Agensi