Berita Utama

Gesa kaji semula keberkesanan DLP

Pretasi murid cemerlang belajar Sains, Matematik dalam BM

BANGI, 16 Zulhijjah 1441H, Khamis – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mengkaji semula keberkesanan Program Dwibahasa (DLP) di sekolah.

Sebelum ini KPM memaklumkan akan meneruskan DLP dengan memberi kebenaran kepada pihak sekolah yang memilih untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, KPM tidak berhasrat memperkenalkan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Beliau berkata, DLP diperkenalkan secara rintis pada 2016 di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) membabitkan 377 sekolah iaitu 132 sekolah rendah dan 245 sekolah menengah.

Mengambil maklum perkara itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Ustaz Mohd Azizee Hassan berpandangan bahawa pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik melalui bahasa ibunda adalah terbukti lebih berkesan berbanding penggunaan bahasa Inggeris.

Beliau mengesyorkan KPM menubuhkan satu pasukan kajian khas untuk melihat sejauh mana keberkesanan pelaksanaan pengajarans Sains dan Matematik menggunakan Bahasa Inggeris.

Ini katanya bagi memastikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) tidak berulang kembali.

“I-Guru melihat usaha yang konkrit dan berterusan dari pihak KPM ialah mencari formula mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah luar bandar dan pendalaman bagi memastikan mereka tidak tercicir dengan pendidikan yang menyiapkan mereka kepada dunia global.

“KPM digesa mengambil kira kegagalan PPSMI dan mencari langkah terbaik untuk memastikan murid menguasai Bahasa Inggeris dengan pendekatan yang lebih berkesan dan produktif serta pandangan dari pakar-pakar bahasa dan bidang Sains dan Matematik.

“Usaha melahirkan murid yang memiliki AI (kecerdasan buatan) adalah penting di era digital ini dengan menanamkan minat kepada aliran STEM dan TVET dengan pengajaran yang mudah difahami melalui bahasa ibunda tanpa mengenepikan aspek pemantapan Bahasa Inggeris,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ustaz Azizee yakin sekiranya subjek Sains dan Matematik dipelajari dalam Bahasa Melayu, prestasi murid Malaysia akan meningkat di atas purata dunia dengan cemerlang dan berada di kedudukan terbaik.

Sebelum ini, wujud gesaan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis bahasa supaya kerajaan memansuhkan DLP kerana secara dasarnya ia sama seperti PPSMI.

Terdahulu, Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Prof Datuk Dr Awang Sariyan berkata, DLP perlu dinilai semula pelaksanaannya kerana mewujudkan polarisasi dalam kalangan pelajar, iaitu sejumlah pelajar mengikuti Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dan sekelompok lagi dalam bahasa Melayu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close