Berita Utama

Pendidikan Rukun Negara perlu diterap seawal peringkat tadika

Mahasiswa boleh buat analisis, menilai setiap prinsip Rukun Negara

KUALA LUMPUR, 16 Zulhijjah 1441H, Khamis  – Pendidikan berkenaan Rukun Negara perlu diterapkan dalam kurikulum sekolah seawal peringkat tadika lagi dan hendaklah disemak semula setiap lima tahun dalam usaha mengukuhkan perpaduan rakyat.

Felow Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, situasi yang berlaku kini, Rukun Negara tidak lebih sekadar hafalan untuk murid dan pelajar sekolah selain diikrarkan hanya pada majlis tertentu sahaja.

“Sepatutnya perlu ada pendidikan terhadap kelima-lima prinsip itu untuk difahami anak bangsa, kena ada kurikulum, misalnya prinsip pertama kalau nak terapkan di tadika, perkara apa yang perlu ‘diangkat’ dan ditonjolkan kepada anak sekecil mereka.

Apabila ada kurikulum, ia harus diajar selain ada latihan dan saya pasti Rukun Negara akan terkesan pada pemikiran serta tingkah laku rakyat. Sayang ia (Rukun Negara)  sudah berusia 50 tahun, tetapi hanya pada nama sahaja.

Ia sepatutnya boleh jadi patriotik kerana ia adalah gagasan kenegaraan dan dalam hal ini sektor pendidikan memainkan peranan penting untuk mendidik anak bangsa memahami falsafah Rukun Negara itu, bukan hanya di peringkat sekolah rendah tetapi pada peringkat yang lebih tinggi,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, hari ini.

Katanya, di peringkat universiti pula, mahasiswa boleh membuat analisis, menilai dan mencipta sesuatu dalam memperincikan setiap prinsip itu agar mereka akan lebih mendalami dan tahu kepentingannya.

Sementara itu, Veteran Akademi Tentera Malaysia Lt Jen (B) Datuk Seri Zaini Mohd Said berkata falsafah rukun negara masih relevan bukan sahaja dalam kehidupan masa lalu, tetapi pada masa kini dan akan datang.

Ini kerana katanya, kelima-lima prinsip berkenaan adalah ideologi negara dan set kepercayaan untuk rakyat agar tidak tersasar selain mampu mengukuhkan perpaduan negara berbilang kaum di negara ini.

“Malangnya masyarakat tak nampak kebaikan prinsip Rukun Negara itu, mereka tak tahu tujuan dan maknanya, padahal ia sebenarnya untuk diri mereka dan generasi akan datang, kalau negara ini mempunyai rakyat yang mengamalkan Rukun Negara, Malaysia akan jadi negara hebat,” katanya. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close