Berita Utama

Pesara badan berkanun rugi RM1.84 juta diperdaya Macau Scam

Pindah wang dari Tabung Haji, ASB, duit pusaka ke akaun suspek

BALIK PULAU, 16 Zulhijjah 1441H, Khamis – Seorang pesara badan berkanun kerugian RM1.84 juta, selepas ditipu sindiket Macau Scam yang mendakwa warga emas berkenaan terbabit dalam pengubahan wang haram, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A.A Anbalagan berkata, mengikut laporan, wanita berusia 76 tahun itu pada 5 Jun, menerima panggilan daripada lelaki bernama Adam Wong, dari perkhidmatan pelanggan di Pos Laju Kuala Lumpur, memaklumkan terdapat bungkusan mengandungi kad pengenalan dan lapan kad debit bank yang dihantar wanita berkenaan, ke Kota Kinabalu, Sabah.

“Bagaimanapun mangsa menafikannya dan lelaki itu telah menasihati mangsa untuk membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, dan berjanji untuk membantu mangsa.

“Mangsa kemudiannya menerima panggilan daripada tiga lelaki yang mengaku sebagai pegawai polis dan mendakwa selepas pemeriksaan mendapati, wanita tersebut terlibat dengan kes jenayah pengubahan wang haram bernilai RM1.48 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pegawai polis itu turut memaklumkan mangsa mempunyai akaun bank atas namanya di Kota Kinabalu, dan meminta wanita tersebut melaporkan pergerakannya kepada mereka setiap dua jam, kononnya untuk pemerhatian serta pemantauan pihak polis.

Anbalagan berkata, mangsa yang takut, hanya menurut arahan suspek termasuk memindahkan wang simpanannya dari Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera (ASB), serta wang pusaka arwah ibunya, ke dalam beberapa akaun yang diberikan suspek.

“Sejak 23 Jun lalu mangsa memasukkan cek ke dalam akaun sebuah syarikat Enterprise berjumlah RM790,000 diikuti dua cek pada 29 Jun bernilai RM300,000 kepada syarikat pembinaan dan dua keping cek lagi berjumlah RM650,000, kononnya untuk siasatan oleh polis serta Bank Negara Malaysia,” katanya.

Anbalagan berkata, lelaki mengaku pegawai polis berpangkat ASP itu juga meminta mangsa membayar wang bon sebanyak RM1 juta sebagai wang jaminan, bagi mengelakkan ditahan dan reman bagi siasatan kes pengubahan wang haram.

Katanya, mangsa kemudiannya memasukkan dua keping cek hasil jualan barangan kemas dan pinjaman daripada adik beradiknya masing-masing berjumlah RM200,000 kepada sebuah syarikat pada 13 dan 22 Julai, sebelum pihak terbabit meminta jumlah selebihnya bagi mencukupkan bayaran bon RM1juta.

“Mangsa yang buntu kerana sudah tiada wang, meminta pertolongan anaknya di Kuala Lumpur dan anaknya hairan kerana tahu ibunya mempunyai duit, sebelum wanita tersebut menceritakan apa yang terjadi. Mereka kemudiannya membuat laporan polis dua hari lepas (Selasa) selepas sedar telah ditipu,” katanya.

Katanya lagi,  siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan sindiket itu serta pemilik-pemilik akaun digunakan untuk memindahkan wang berkenaan dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button