Berita Utama

Syor tutup SJKC tak ramai murid, gantikan dengan SK

Kerajaan sudah patut laksana sekolah 1 aliran, bina identiti kebangsaan

BANGI, 16 Zulhijjah 1441H, Khamis – Sudah tiba masanya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) – di bawah pimpinan Kerajaan Perikatan Nasional – mempertimbangkan untuk menutup Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang tidak memenuhi bilangan kouta murid-murid.

Langkah itu bukan sahaja menjimatkan kos, malah dapat mencapai aspirasi memupuk perpaduan di kalangan rakyat berbilang bangsa di negara ini, kata Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Ustaz Mohd Azizee Hassan.

Beliau berkata, SJKC yang muridnya tidak ramai – tidak memenuhi kuota – sewajarnya ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) yang berdekatan.

Turut memberi cadangan alternatif, Ustaz Azizee berkata, antara langkah lain yang boleh diambil KPM adalah menukar status SJKC kepada SK memandangkan komposisi murid Melayu yang semakin bertambah.

“Sudah sampai masanya kerajaan mewujudkan sekolah satu aliran bagi menggantikan konsep sekolah sedia ada.

“Ia bagi membina identiti kebangsaan dan mewujudkan perpaduan yang lebih utuh serta menyemai semangat nasionalisme,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Berdasarkan laporan media pada 2018, kemasukan ke SJKC merosot ekoran kadar kelahiran yang menurun dan kebanyakan ibu bapa menghantar anak masing-masing ke sekolah antarabangsa.

Jumlah pelajar di SJKC dilaporkan merosot untuk 5 tahun berturut-turut yang mencecah 41,172 orang secara keseluruhannya.

Sehingga kini Malaysia masih gagal menghapuskan sistem pendidikan vernakular, meskipun sudah lebih 60 tahun merdeka.

Walaupun pernah ada usaha untuk ke arah sistem pendidikan satu aliran melalui cadangan penubuhan sekolah wawasan, ia tetap gagal dilaksanakan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button