Berita Utama

90 peratus permis perniagaan di Pahang akur guna tulisan Jawi

Arahan selari titah Sultan Pahang patut tiada masalah untuk dipatuhi

KUANTAN, 17 Zulhijjah 1441H, Jumaat – Kira-kira 90 peratus premis perniagaan di Pahang mematuhi arahan penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda premis masing-masing sejak dikuatkuasakan pada 1 Januari lepas.

Ketika mendedahkan perkara itu kepada Bernama hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang Abd Rahim Muda berkata, berdasarkan pemerhatian pihak berkuasa tempatan, kebanyakan premis mengambil inisiatif menukar papan tanda baharu atau menampal pelekat bertulisan Jawi di atas papan tanda sedia ada.

“Namun begitu, masih ada premis perniagaan yang tulisan Jawi di papan tanda mereka bersaiz lebih kecil daripada tulisan Rumi iaitu tidak mematuhi syarat ditetapkan dan mereka ini diberikan masa untuk membetulkan perkara itu,” katanya ketika dihubungi di sini.

Abd Rahim berkata, premis perniagaan yang tidak mematuhi peraturan itu boleh dikenakan denda antara RM250 dan RM500 selain boleh dikenakan tindakan pembatalan lesen perniagaan.

Mengenai tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri Tras, Chow Yu Hui memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini baru-baru ini bagi mencabar arahan kerajaan negeri itu, Abd Rahim berkata, perkara itu mungkin berlaku kerana ada pihak menganggap peraturan berkenaan berkaitan kaum dan proses Islamisasi terhadap kaum lain.

“Sebenarnya, ia (arahan) bukan begitu. Jika dirujuk Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967, ada dinyatakan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan tulisannnya ialah tulisan Rumi dan Jawi. Jadi arahan ini sepatutnya tiada masalah untuk dipatuhi,” katanya.

Kerajaan negeri Pahang mewajibkan penggunaan tulisan Jawi selari dengan titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada November 2018 supaya tulisan tersebut diperkasakan dan dibudayakan di negeri itu.

Bagi tujuan itu, kerajaan negeri memberikan tempoh setahun pada 2019 untuk pemilik premis membuat persiapan sebelum mewajibkan pelaksanaannya bermula 1 Januari tahun ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button