Berita Utama

Arak: Kenapa nak layan budaya buruk kumpulan minoriti?

Hukuman tak boleh dimandatori, industri arak pula gagal hapus

Oleh Athirah Huda Zalhe

KUALA LUMPUR, 17 Zulhijjah 1441H, Jumaat – Kerajaan tidak perlu melayan kehendak dan budaya golongan minoriti sekiranya boleh menganiaya majoriti umat Islam di negara ini.

Demikian tegas Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Ustaz Masridzi Sat mengulas tuntutan lapan kumpulan perdagangan terhadap keputusan Kementerian Wilayah Persekutuan membekukan lesen penjualan arak di negeri itu.

Sebelum ini, lapan kumpulan berkenaan menuntut satu sesi pertemuan bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berikutan keputusan pembekuan lesen penjualan arak.

Dalam kenyataan bersama, mereka mendakwa ramai ahli yang lesen minuman keras mereka akan tamat.

Desak kerajaan kekal dengan keputusan, Ustaz Masridzi berkata, tiada keperluan untuk melayan budaya minum arak yang diamalkan golongan minoriti di negara ini.

“Ini budaya mereka, bukan amalan agama mereka. Adakah budaya minum arak perlu merosakkan masyarakat majoriti di Malaysia?

“Kita terlalu melayan kumpulan minoriti sehingga budaya buruk mereka ini menjahanamkan kita majoriti umat Islam,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Apa yang lebih dikesalkan, beliau berkata, hukuman sedia ada dan bakal dipinda juga masih belum mencapai kadar yang setimpal.

“Dari segi hukuman pun kita tak boleh nak kuat kuasakan sehingga mandatori, dari sudut industri arak pun kita gagal untuk menghapuskan.

“Bagaimanapun, kita tetap mengucapkan tahniah dan berterima kasih dengan keberanian Tan Sri Annuar Musa terhadap keputusan drastiknya dalam isu penjualan arak ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button