Berita Utama

Bagaimana jika inkues kedua bercanggah keputusan Mahkamah Koroner?

Keluarga Allahyarham seolah-olah dipermainkan sejak awal kes

BANGI, 17 Zulhijjah 1441H, Jumaat – Penjelasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengenai kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim tidak dapat diterima malah mendukacitakan semua pihak.

Hamzah sebelum ini berkata, kertas siasatan berhubung kes kematian Muhammad Adib telah dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara pada 23 Julai lepas, disusuli dengan beberapa cadangan.

Katanya, rujukan semula kes berkenaan antara lain mencadangkan supaya 12 suspek yang sebelum ini disyaki terbabit dalam kematian Muhammad Adib pada 17 Disember 2018 itu dituduh mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan.

Seksyen 143 Kanun Keseksaan berkaitan penyertaan dalam perhimpunan menyalahi undang-undang yang memperuntukkan hukuman sehingga enam bulan, denda atau kedua-duanya.

Hamzah berkata, antara cadangan yang dikemukakan ialah membuka semula inkues untuk siasatan sekiranya mendapat persetujuan Peguam Negara.

Presiden gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berpandangan, kedua-dua cadangan itu amat janggal kerana jika suspek dituduh hanya atas kesalahan merusuh, secara tidak langsung ia akan menutup segala ruang dan kemungkinan bahawa mereka terbabit menyebabkan kematian Muhammad Adib.

“Dengan kata lain, pertuduhan yang lebih ringan pula tiba-tiba dikenakan kepada suspek-suspek.

“Selain itu, jika inkues kedua diadakan, maka ianya akan bercanggah dengan keputusan Mahkamah Koroner yang memutuskan bahawa kematian Muhammad Adib adalah kerana perbuatan jenayah oleh individu-individu yang tidak dikenali (dan perlu dikenal pasti).

“Apakah kita hanya akan abaikan sahaja keputusan Mahkamah Koroner? Dan apakah beliau mahu mengatakan bahawa keputusan inkues selama ini adalah satu kesilapan?,” soalnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Haji Aminuddin menegaskan bahawa selama ini ramai pihak tidak bersetuju untuk apa-apa inkues diadakan kerana dari awal lagi pihak polis membuka kertas siasatan dan mengklasifikasi kes itu sebagai kes bunuh.

Beliau berkata, melakukan inkues yang pertama itu sendiri adalah langkah yang janggal, apatah lagi yang kedua.

“Saya sangat sedih dan kasihan pada keluarga Allahyarham kerana mereka ini dikelirukan, seolah-olah dipermain-mainkan sejak awal kes ini berlaku dengan pelbagai ‘flip flop’ di sini dan di sana.

“Sudahlah mereka perlu menghadapi karenah Tommy Thomas sebagai Peguam Negara yang telah terbukti campur tangan dalam kes ini, selepas itu pihak PDRM yang diharapkan menyebelahi mereka selama ini tiba-tiba berubah pula.

“…dan kali ini pihak kementerian pula tidak menyebelahi mereka dengan cadangan-cadangan sebegini walaupun sudah beralih kerajaan,” kata beliau kesal.

Justeru, Haji Aminuddin meminta agar ‘rakan-rakan’ yang berada dalam kerajaan untuk memandang serius perkara ini dan sama-sama memberikan tekanan berdasarkan kepincangan yang berlaku.

“Jika hanya NGO dan rakyat yang bersuara dalam perkara ini, ianya bagai ‘bertepuk sebelah tangan’ sahaja dan ini sangat mendukacitakan.

“Kita tidak dapat tahan lagi melihat kes ini berlarutan lebih panjang lagi. Semoga ada keadilan buatmu, wahai Adib,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close