Berita Utama

Jemaah di Selangor diminta patuhi ketetapan baharu solat Jumaat esok

Sultan Sharafuddin mahu jemaah terima 2 dos vaksin serta dos penggalak

SHAH ALAM, 17 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan jemaah untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pentadbir masjid dan surau bagi pelaksanaan ketetapan baharu bagi solat Jumaat, esok.

Terdahulu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 18 Januari, memaklumkan baginda telah memberi perkenan bagi membenarkan penggunaan sepenuhnya ruang solat utama dan ruang limpah di semua masjid serta surau yang mendapat kebenaran solat Jumaat di negeri Selangor, digunakan bagi menunaikan solat fardu Jumaat.

Baginda turut berkenan bagi jarak antara satu jemaah dengan jemaah yang lain ditetapkan dengan jarak 1.0 meter.

“Ketetapan baharu ini diputuskan setelah baginda mendapatkan nasihat dan pandangan daripada Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, berpandukan statistik dan data terkini mengenai penularan wabak COVID-19.

“Pelaksanaan ketetapan baharu ini berkuat kuasa pada hari Jumaat bertarikh 21 Januari 2022,” titah baginda dalam kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah, hari ini.

Baginda bertitah, ketetapan baharu ini juga akan memberi kesan kepada peningkatan kapasiti bilangan jemaah di seluruh negeri sehingga 35 peratus tertakluk kepada kapasiti sesebuah masjid dan surau.

“Bagaimanapun, baginda menyeru para jemaah agar terus mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pentadbir masjid dan surau. 

“Baginda juga mahu agar setiap jemaah telah menerima suntikan dua dos vaksin dan juga dos penggalak COVID-19.

“Menerusi setiap keputusan yang diambil, baginda sentiasa memikirkan keselamatan nyawa rakyat di negeri Selangor. Ini kerana mengikut statistik semasa, jumlah kematian akibat COVID-19 di negeri Selangor sahaja telah melebihi 10,000 orang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button