Berita UtamaPendapat

Bukit Melaka: Perjuangan dekolonisasi sejarah mesti diteruskan

Bebaskan tanah air dari sebarang bentuk penjajahan

BUKIT Melaka merupakan satu elemen yang penting dalam persejarahan Kesultanan Melayu Melaka. Catatan dari China dan Portugis merupakan sebahagian daripada himpunan bukti yang memperlihatkan kepentingan Bukit Melaka ini dalam sejarah Melaka.

Terdapat satu catatan China yang membuktikan Bukit Melaka sebagai tapak istana dan kawasan pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka [1]. Catatan tersebut telah menyatakan hadiah ‘batu sendi’ kepada Kesultanan Melayu Melaka oleh Kerajaan China telah ditempatkan di atas Bukit Melaka [1]. Hal ini kerana, Kesultanan Melaka mengiktiraf Bukit Melaka sebagai ‘tiang seri negara’ bagi Melaka kerana di situlah terletaknya istana Sultan yang menjadi paksi kedaulatan dan kemakmuran kerajaan.

Terdapat juga catatan oleh penulis Portugis yang memperlihatkan kedudukan penting Bukit Melaka sebagai lokasi pentadbiran Kesultanan Melaka. Ini dapat dilihat menerusi rekod lukisan pada tahun 1508, iaitu semasa kedatangan Lopez De Sequiera ke Melaka yang menunjukkan lokasi istana Melaka yang berada di Bukit Melaka [2].

Rajah 1: Lukisan Portugis tahun 1508 yang menggambarkan perairan dan Kota Melaka, yang memperlihatkan kedu dukan kompleks istana di atas Bukit Melaka.
Rajah 2: Gambaran susun atur pusat bandar Melaka pada tahun 1500. Pelan tersebut jelas menunjukkan kedudukan Bukit Melaka yang menempatkan pusat pentadbiran [3].

Pelan bandar Melaka pada tahun 1500, iaitu semasa pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka, yang dilakar dalam kajian McRoberts (1991) juga telah membuktikan nama asal Bukit St.Paul ini merupakan Bukit Melaka.

Kolonisasi Sejarah Bukit Melaka oleh Penjajah Barat

Bukit Melaka merupakan antara tempat utama yang menjadi sasaran serangan Portugis ke atas Melaka pada tahun 1511. Ini adalah kerana ia menempatkan Istana Melaka dan berdekatan dengan Masjid Jamik Melaka [4]. Walaubagaimanapun, barisan tentera Kesultanan Melaka teguh mempertahankan ‘tiang seri’ kerajaan mereka.

Selepas penaklukan pusat pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka pada Ogos 1511, Portugis telah melakukan kemusnahan terhadap segala bukti kewujudan peradaban Melayu-Islam di Melaka. Menurut satu kertas kerja mengenai Kota Melaka, Istana, Masjid Jamik, makam dan rumah-rumah pembesar telah dimusnahkan dan digunakan untuk membangunkan kota pemerintahan Portugis di Melaka yang dikenali sebagai A’Famosa [1].

Alfonso De Albuquerque selaku panglima perang Portugis telah mengarahkan pembinaan Kota A’Famosa sehingga siap pada tahun 1512 dengan mengelilingi Bukit Melaka dengan tujuan mempertahankan Kota Melaka daripada serangan Sultan Mahmud Syah dan kerajaan Melayu lain seperti Acheh [1]. Kota A’Famosa tersebut dikatakan dibina sebahagiannya di atas tapak Masjid Melaka yang diruntuhkan Portugis [2]. Selain itu, batu-batu nisan makam Sultan-sultan Melaka terdahulu turut digunakan oleh Portugis sebagai bahan binaan A’Famosa [5].

Pembinaan gereja sekitar tahun 1560an oleh Duarte Coelho semasa penjajahan Portugis, di puncak Bukit Melaka telah memberi kesan kepada sejarah asal tempat tersebut [6]. Selepas kejatuhan Melaka ke bawah pemerintahan Belanda pada tahun 1641, mereka menukarkan nama gereja tersebut kepada Gereja St. Paulus [7].

Kesannya, sehingga ke hari ini, Bukit Melaka yang menempatkan Gereja St. Paulus ini bertukar nama kepada Bukit St. Paul. Sehingga ke hari ini juga, fakta yang terkandung dalam pengajaran sejarah negara turut mengguna pakai nama Bukit St. Paul berbanding nama asalnya, iaitu Bukit Melaka.

Dekolonisasi Sejarah Negara

Hari ini, terdapat perdebatan daripada pelbagai pihak dalam usaha mengembalikan semula nama Bukit St. Paul kepada Bukit Melaka. Cadangan dari pihak Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) untuk mengembalikan semula nama Bukit Melaka merupakan sesuatu yang perlu disambut positif oleh semua pihak.

Kita seharusnya mempunyai kesedaran bahawa tanah air ini perlu dibebaskan sepenuhnya dari sebarang bentuk penjajahan, bukan sahaja dalam bentuk fizikal, tetapi juga dalam naratif persejarahan negara.

Polemik mengenai Bukit Melaka ini tidak jauh berbeza seperti mana kedudukan Kota A’Famosa yang ditinggalkan penjajah Portugis atau bangunan Stadthyus yang merupakan warisan Belanda dalam naratif sejarah negara. Sedangkan pada hakikatnya, di tapak warisan penjajah ini telah berdirinya pusat pemerintahan sebuah empayar maritim Melayu bertaraf antarabangsa yang masyhur dan disegani seluruh dunia.

Perjuangan dekolonisasi sejarah ini tidak seharusnya terhenti pada Bukit Melaka sahaja, tetapi perlu menyeluruh sehingga generasi akan datang melihat warisan sejarah bangsa seperti mana bangsa Turki memandang bangga akan Hagia Sophia atau bangsa China ketika melihat tembok besar mereka.

Fahmi Bahrudin 
Pegawai penyelidik IRIS Institute

Rujukan

[1] N. A. B. Mokhtar, N. H. S. B. N. A. Rahman and K. B. Kosman, “Kewujudan Kota Melayu Melaka,” in Seminar Antarabangsa Ke-3 Arkeologi, Sejarah Dan Budaya Di Alam Melayu, Bangi, 2014.
[2] K. A. Kosman and N. A. Mokhtar, “Rough Planning of Melaka Malay City Before 1511 Based on Portuguese Sources”.
[3] R. W. Mcroberts, “A Study In Growth: An Economic History Of Melaka 1400 —1510,” Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, vol. 64, no. 2, pp. 47-78, 1991.
[4] R. J. Wilkinson, “The Capture of Malacca, A.D. 1511,” Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, vol. 61, pp. 71-76, 1912.
[5] G. Irwin, “Malacca Fort,” Journal of Southeast Asian History, vol. 3, no. 2, pp. 19-44, 1962.
[6] B. A. Kayan, I. A. Halim and N. S. Mahmud, “Green Maintenance for Heritage Buildings: An Appraisal Approach for St Paul’s Church in Melaka, Malaysia,” International Journal of Technology , pp. 1415-1428, 2018.
[7] R. N. Bland, Historical Tombstones Of Malacca, Mostly Of Portuguese Origin, With The Inscriptions In Detail And Illustrated By Numerous Photographs – Primary Source Edition, London: Elliot Stock, 62, Paternoster Row, E.C, 1905.

Sumber http://fokus.my/polemik-bukit-st-paul-bukit-melaka/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button