Kes COVID-19 dunia lebih 19 juta
Kematian cecah 700,000 orang, Eropah wilayah paling terjejas
WASHINGTON, 17 Zulhijjah 1441H, Jumaat – Jumlah jangkitan positif COVID-19 di seluruh dunia terus meningkat dan setakat pagi ini sudah melebihi 19 juta kes.
Kematian global akibat pandemik pula sudah melepasi 700,000 orang, dan Eropah kekal menjadi wilayah paling teruk dilanda wabak dengan lebih 200,000 kematian direkodkan.
Afrika Selatan mencatatkan jumlah jangkitan kelima tertinggi di dunia, selepas Amerika Syarikat, Brazil, India dan Russia.
Pemerintah di seluruh dunia ketika ini sedaya upaya mengekang wabak COVID-19 sejak kebanyakan negara menarik balik perintah sekatan awal.
Di Australia, bandar raya kedua terbesar – Melbourne dilaporkan terpaksa menutup perniagaan yang tidak penting dan mengarahkan ratusan ribu orang untuk tinggal di rumah.
Finland turut memperkenalkan kawalan baharu terhadap kemasukan pelancong dari beberapa negara EU termasuk Belgium, Belanda dan Andorra.
Pihak berkuasa Finland melarang pelancong yang tiba dari sana dan mengenakan kuarantin 14 hari kepada mereka yang kembali dari negara lain.
Austria pula mengeluarkan amaran perjalanan darat ke Sepanyol – antara negara terbaru yang melaksanakannya di tengah-tengah peningkatan kes COVID-19 membabitkan anggota EU. – Agensi