Berita Utama

Kes terowong: Guan Eng tak mengaku salah minta rasuah

Minta suapan 10 peratus dari untung diperoleh Datuk Zarul

KUALA LUMPUR, 17 Zulhijjah 1441H, Jumaat – Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Guan Eng, 60, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Guan Eng, semasa menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa telah secara rasuah meminta bagi dirinya suatu suapan, iaitu, balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperolehi kelak daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Ia sebagai upah bagi membantu syarikat milik Zarul dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kesalahan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala Lim diwakili peguam Gobind Singh Deo dan Ramkarpal Singh. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button