Artikel Khas

Hanya Melayu yang boleh menolong Melayu

Bangsa lain tidak akan mampu tolong Melayu selagi mana Melayu masih tidak sedar

SEMUA tahu bahawa selama ini tangan-tangan Melayu yang merosakkan Melayu dan apa jua berkaitan dengannya, meskipun keistimewaan tersebut ada dalam Perlembagaan.

Ultra kiasu hanya mengambil kesempatan. Melayu sendiri yang merosakkan agama, bangsa dan negaranya sendiri.

Kita menyeru, Melayu menjaga apa jua perkara berkaitan dengannya seperti agama, bangsa, bahasa dan negaranya. Perkara tersebut tidak berlaku.

Melayu bukan sahaja tidak menjaga, bertambah buruk mereka berpecah, sehingga mengabaikan apa jua perkara penting berkaitan dengannya. Sudahlah bilangan Melayu tidak ramai. Perkara asas dalam Perlembagaan pun tidak mampu dijaga.

Cuba pergi ke KPJ hospital, GLC dipunyai kerajaan negeri Johor, ketuai oleh orang Melayu, di seluruh negara, sejauh mana bahasa Melayu didaulatkan? Kalau tidak percaya, pergilah ke Hospital KPJ Ampang Puteri.

Semua dalam bahasa Inggeris, papan tanda, iklan dan sebagainya. Begitu juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lain, termasuk Tabung Haji, sejauh mana bahasa Melayu didaulat. Berdekatan Jalan Tun Razak, terbaca nama bangunan TH Selborn

Sudahlah pejabat-pejabat GLC diinggeriskan, semua projek pun diinggeriskan, nama-nama bangunan komersial dan nama-nama taman perumahan sehingga tidak tergamak kita membacanya.

Pergi mendengar Syarahan Perdana di Universiti Awam, contoh di Universiti Putra Malaysia, (UPM), sehingga tahun 2021, sejumlah 243 syarahan diadakan, hanya 14 sahaja dalam BM, yang lain semua dalam bahasa Inggeris. Begitu juga dengan Universiti Awam yang lain. Tidak usahlah bandingkan dengan Universiti Swasta, langsung bahasa Melayu terpinggir.

Paling malang, minggu saya begitu terkejut pergi ke Ampang Point, kompleks membeli belah yang dipunyai oleh GLC Selangor, surau yang dahulu terletak di tingkat 3, begitu strategik untuk orang ramai pergi bersembahyang, kini telah dipindah ke bawah kawasan parkir (basement). Bila turun ke bawah, terasa bahang panas dan begitu berdebu. Kenapa mereka begitu tergamak memindahkan surau daripada kawasan yang begitu strategik dan selesa, ke kawasan yang sukar untuk didekati. Itulah Melayu.

Bayangkan jika bangunan komersial dan pasaraya dipunyai oleh warganegara bukan Islam, boleh bayangkan di mana kedudukan surau. Jika Melayu pun sendiri tergamak memindah surau ke kawasan parkir, bayangkan jika bukan Melayu melakukannya. Salah siapa?

Berbeza sekali dengan kompleks beli belah antarabangsa seperti IKEA, EON Big, Jaya Jusco dan sebagainya, dipunyai oleh peniaga luar, BM begitu didaulatkan, surau ditempatkan di kawasan yang sangat strategik, jauh sekali berada di kawasan parkir

Dalam kata lain, pasaraya antarabangsa, dipunyai orang asing, tetapi amat menghormati bahasa dan agama negara ini. Tetapi Melayu langsung tidak menghargainya.

Cuba baca nama-nama pusat komersial dan taman-taman perumahan yang dibangunkan oleh GLC seperti Tabung Haji, PNB, Sime Darby, PKNS, I&P, Maybank, CIMB, Telekom, TNB, POS, dan banyak lagi. Sejauh mana bahasa Melayu didaulatkan. Adakah roh Islam hidup di semua GLC ini?

Boleh dikatakan semua GLC tersebut diketuai oleh orang Islam. Apakah jiwa dan jati diri mereka telah mati.

Bangunlah wahai Melayu dan Bumiputera, jika kamu masih sayang agama, bangsa, bahasa dan negara kamu, hanya kamu sahaja yang mampu mempertahankannya. Jika tidak, pasti semua itu akan lenyap suatu hari nanti.

Justeru, saya cadangkan, pertama, supaya semua ketua GLC mengikuti kursus jati diri Islam dan Melayu. Mereka tidak boleh dibiarkan hanyut.

Cukuplah dengan syarikat swasta yang langsung tidak boleh dikawal. Jika syarikat dalam kawalan, kita tidak mampu lakukan dan mendisiplinkannya, bagaimana dengan yang lain.

Penat rasanya, melihat Perdana Menteri, berucap dan mempromosikan bahasa Melayu di persada antarabangsa, malangnya di negara sendiri, langsung tidak disahut.

Kedua, jika mereka masih tidak mahu berubah, gantikan semua ketua GLC dan pegawai mereka yang telah mati jiwa dan jati dirinya dengan orang lain yang lebih berwibawa dan ada kesedaran hidup bernegara berpandukan Perlembagaan.

Ketiga, belajarlah daripada negara lain dan lihat bagaimana mereka mendaulatkan agama, bangsa dan negara mereka. Jangan pergi jauh, lihat Thailand, Indonesia, Vietnam dan lain-lain.

Peliknya, ketua GLC inilah yang selalu keluar negara, apakah mereka tidak nampak bagaimana negara-negara lain memperkasakan jati diri agama, bangsa dan negara mereka.

Apakah mereka tidak nampak, di negara maju, selepas maghrib, bandaraya mereka seolah-olah mati, tetapi kenapa apabila kita membangunkan bandar, ia perlu hidup 24 jam, yang rosak siapa? Adakah agama, bangsa dan negara terjamin keselamatannya apabila bandar hidup 24 jam?

Keempat, tidak ada cara lain untuk menyelesaikan masalah ini, selagi kepemimpinan tertinggi tidak mengeluarkan arahan dan bertindak tegas terhadap mereka yang telah mati jiwa dan jati diri ini.

Saya amat terkejut membaca kenyataan bekas ketua CIMB yang begitu menyalahkan kerajaan kerana budaya rasuah. Pada masa sama, pernahkah beliau mencerminkan dirinya, bagaimana CIMB bank, yang asal Bank Bumiputera, telah punah dan rosakkan diinggeriskan olehnya sehingga mati langsung jati dirinya. Apa yang kita boleh banggakan dengan GLC seperti ini?

Akhirnya, hanya Melayu sahaja yang boleh menolong Melayu. Jika Melayu terus alpa dan lalai, berpecah tidak ada sudahnya, maka tunggulah akibatnya tidak lama lagi.

PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button