Berita Utama

Pertembungan menteri, bekas menteri hangatkan Dewan Rakyat

Perbincangan termasuk isu kes kematian Muhammad Adib

KUALA LUMPUR, 17 Zulhijjah 1441H, Jumaat – Sebanyak 26 kementerian selesai menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong sepanjang minggu ini, dengan beberapa keputusan penting dimaklumkan di Dewan Rakyat.

Antara menarik perhatian ialah mengenai kertas siasatan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang telah dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara pada 23 Julai lepas.

Rujukan semula kes itu antara lain mencadangkan supaya 12 suspek yang sebelum ini disyaki terbabit dalam kematian Muhammad Adib pada 17 Disember 2018 itu dituduh mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin menyebut cadangan juga melibatkan membuka semula inkues untuk siasatan sekiranya mendapat persetujuan Peguam Negara.

Selain itu, Dewan Rakyat juga diberitahu kerajaan kini sedang dalam proses untuk memuktamadkan jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menyaksikan perubahan dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) daripada laluan asal oleh pentadbiran terdahulu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong ketika sesi soal jawab dan penggulungan menyatakan kerajaan mengambil kira beberapa faktor seperti daya maju projek, kesalinghubungan rel dan implikasi kewangan sebelum kelulusan diberikan bagi jajaran ECRL itu.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula memaklumkan mengenai pembatalan cadangan penggubalan Rang Undang-Undang Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan yang sebelum ini dibuat kerajaan PH, selepas mengambil kira pengalaman Singapura dan maklum balas pakar perundangan termasuk, Jabatan Peguam Negara.

Dalam pada itu, sidang Dewan Rakyat sedikit tercalar dengan insiden tidak cukup korum Ahli Parlimen sehingga menyebabkan persidangan dewan terhenti seketika semasa sesi penggulungan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Sidang dewan juga kecoh apabila ada Ahli Parlimen pembangkang yang membuat kenyataan bahawa “Speaker berat sebelah” ketika sesi penggulungan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

Turut menarik perhatian, sesi penggulungan beberapa kementerian menyaksikan perbahasan tegang antara menteri dan bekas menteri yang pernah memegang portfolio sama, seperti Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Lim Guan Eng.

Sesi penggulungan akan bersambung melibatkan Menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri pada persidangan minggu kelima, Isnin depan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button