Berita UtamaDunia

Rejim Israel tembak mati wanita Palestin

Mangsa dikatakan cuba tutup tingkap rumah sebelum ditembak

TEBING BARAT, 17 Zulhijjah 1441H, Jumaat – Seorang wanita Palestin ditembak mati oleh rejim pengganas di bandar Jenin hari ini, kata Kementerian Kesihatan.

Wanita dikenali sebagai Dalia Samudi, 23, ditembak ketika cuba menutup tingkap bagi mengelak gas pemedih mata masuk ke rumahnya.

Kementerian Kesihatan berkata, Samudi dikejarkan ke hospital selepas peluru menembusi dadanya, bagaimanapun beliau kemudiannya disahkan meninggal dunia.

Menurut laporan media Palestin, Samudi ditembak apabila tentera Israel menyerbu kawasan kejiranan Al-Jabariyat di bandar Jenin, di mana mereka menyoal siasat dan mengancam akan menangkap semula bekas tahanan setelah memecah masuk rumahnya.

Serangan itu mencetuskan konfrontasi dari penduduk Palestin dengan askar penjajah Israel yang melepaskan peluru hidup dan peluru getah terhadap pemuda tempatan yang berusaha menghalang jalan mereka.

Pengarah Bulan Sabit Merah tempatan, Mahmoud Al-Sa’adi memberitahu agensi berita Palestin Wafa bahawa tentera Israel melepaskan tembakan ke ambulans yang tiba di tempat kejadian untuk menyelamatkan Samudi.

Bagaimanapun, tentera Israel menafikan menggunakan peluru hidup dan mendakwa wanita berkenaan mungkin terkena peluru yang dilancarkan oleh rakyat Palestin.

Tentera Israel kerap menceroboh bandar dan kampung Palestin di Tebing Barat yang diduduki untuk menangkap rakyat Palestin. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button