Berita Utama

Sedia pertimbang untuk wajibkan latihan kebakaran di sekolah tahfiz

Wujudkan inisiatif 'sekolah angkat' bagi pertingkat ilmu kebombaan

KUALA LANGAT, 17 Zulhijjah 1441H, Jumaaat – Kerajaan mungkin mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pelaksanaan sesi latihan kebakaran di sekolah tahfiz berdaftar di negara ini, pada masa depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sesi latihan kebakaran itu dilihat penting dan sesuai dimulakan pada masa kini, sebagai persediaan untuk mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku kepada pelajar tahfiz.

Beliau berkata, pentadbir sekolah tahfiz juga disarankan supaya bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, untuk mewujudkan inisiatif ‘sekolah angkat’ bagi mempertingkatkan ilmu kebombaan dan berkaitan pencegahan kebakaran.

“Sekurang-kurangnya, pelajar akan mendapat latihan asas, sekiranya berlaku kebakaran dan menggelakkan mereka daripada menjadi panik,” katanya kepada pemberita selepas sesi lawatan ke Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Kuala Langat di sini, hari ini.

Zulkifli turut menzahirkan rasa sedih dengan kejadian kebakaran di tingkat tiga asrama perempuan MITS Kuala Langat pada awal pagi Selasa, dan menyatakan Kerajaan Persekutuan akan membantu sedaya upaya bagi meringankan bebanan pentadbir sekolah berkenaan.

Terdahulu pada sesi lawatan berkenaan, Zulkifli menyerahkan sumbangan peribadi berjumlah RM20,000 kepada MITS Kuala Langat.

Beliau turut menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM3,000 daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia dan barangan makanan bernilai RM2,000 daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia.

Dalam kejadian pada Selasa lepas, seramai 131 pelajar perempuan MITS Kuala Langat terselamat selepas asrama mereka di tingkat tiga musnah dijilat api. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button