Berita Utama

Tolong haramkan penjualan arak di pasar raya, kedai serbaneka

Wujudkan SOP khusus, jangan benar minuman keras dijual waktu malam

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 17 Zulhijjah 1441H, Jumaat – Sudah tiba masanya kerajaan mengambil tindakan drastik menarik balik lesen penjualan arak secara terbuka.

Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) mengharamkan terus penjualan arak di premis perniagaan awam, seperti pasar raya dan kedai serbaneka.

Naib Pengerusinya, Cikgu Izzat Johari berkata, pihaknya menuntut penjualan minuman keras hanya dikhususkan di premis perniagaan khas milik peniaga bukan Islam sahaja.

“Ini penting kerana kedai-kedai ini langsung tidak menghormti pengguna Islam yang datang membeli keperluan asas, tetapi ada dijual arak dan diletakkan dalam peti secara terbuka, bahkan ada yang sama dengan minuman lain.

“Kita harap pihak PBT menarik balik lesen kepada kedai-kedai awam ini. Jika nak jual boleh, tetapi hanya di kedai bukan Islam,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Membantah penjualan arak secara terbuka dan tanpa sekatan, Izzat turut menuntut kerajaan mewujudkan segera prosedur operasi standard (SOP) khusus, seperti penjualan rokok.

“Kita mencadangkan kedai-kedai menjual arak ini ada lesen khas bertujuan untuk mereka bertanggungjawab.

“Jika dijual secara terbuka, mesti mempunyai garis panduan dan penguatkuasaan tertentu. Kalau dijual terbuka sesuka hati, akan ada tindakan boleh diambil,” katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan juga menghadkan penjualan arak hanya pada waktu tertentu, dan mengharamkan ia dijual pada waktu malam.

“Puncanya mereka beli, minum kemudian mabuk dan melanggar orang yang tidak bersalah. Jika nak beli, waktu siang, minum di rumah dan mabuk di rumah.

“Kalau dibenarkan penjualan waktu malam, sudah tentu mabuk. Dalam tempoh dua, tiga minggu ini pun ada lagi kes (berkait pemandu mabuk),” katanya.

Pada masa sama, Izzat turut menggesa kerajaan mengumumkan satu pelan khas bagi membantu kebajikan kepada keluarga mangsa pemandu mabuk.

“Kerajaan mesti umum segera. Kerajaan ada kuasa, tenaga, peruntukan … tolonglah segerakan. NGO pula yang bertungkus-lumus menjaga kebajikan mereka.

“Kita juga tuntut kilang-kilang arak bertanggungjawab juga kepada mangsa pemandu mabuk. Kuat kuasakan satu peruntukan khas daripada kilang, supaya mereka bertanggungjawab,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button