COVID-19: India catat 60,000 kes baharu untuk 2 hari berturut-turut
Antara negara paling teruk terjejas wabak selepas Brazil, AS
NEW DELHI, 18 Zulhijjah 1441H, Sabtu – India mencatatkan 61,537 kes baharu jangkitan COVID-19 setakat hari ini, menurut Kementerian Kesihatan negara itu.
Kes baharu telah mencecah 60,000 di seluruh negara untuk dua hari berturut-turut, dengan lebih daripada 500,000 jangkitan dilaporkan dalam tempoh sembilan hari.
Negara itu turut melaporkan 933 kematian dalam tempoh 24 jam terakhir.
Angka kematian kini mencecah 42,518 dengan jumlah keseluruhan kes melebihi dua juta. Sementara 1.4 juta lagi dilaporkan pulih.
Menurut laporan Agensi Anadolu, lima negeri yang mempunyai jumlah kes tertinggi adalah Maharashtra dengan 490,262; Tamil Nadu (279,144); Andhra Pradesh (206,000); Karnataka (158,254) dan New Delhi (142,723).
Sebanyak 23.38 juta orang telah menjalani ujian saringan di seluruh negara.
India kekal sebagai salah satu negara yang paling teruk terjejas wabak, selain Brazil dan Amerika Syarikat (AS).
Ini adalah hari keempat berturut-turut, India merekodkan jumlah jangkitan baharu tertinggi dalam satu hari di seluruh dunia, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). – Agensi