Berita Utama

DAP bersikap suci? Dakwa kes Lim Guan Eng berunsur politik, rasis

Bila libat orang lain dituduh bersalah walau belum diputuskan

BANGI, 18 Zulhijjah 1441H, Sabtu – Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung menempelak sikap parti tamak haloba, DAP yang seolah-olah suci apabila pemimpinnya terpalit dengan tuduhan salah laku dan rasuah.

Beliau berkata, tatkala bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berdepan pendakwaan di mahkamah, DAP terus membuat tuduhan bahawa beliau bersalah meskipun belum diputuskan.

Namun, apabila tuduhan sama dikenakan ke atas Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, DAP pula menuduh kononnya pendakwaan itu berunsurkan politik.

“Sedang SPRM sendiri terkejut kenapa kes Lim Guan Eng digugurkan! Bila ada ahli politik dan penyokong DAP ditangkap bawah SOSMA sebagai suspek LTTE, DAP sekali lagi kata ianya berunsurkan politik dan rasis.

“Kenapa bila sampai DAP yang ditangkap mesti unsur politik atau rasis, seolah-olah semua ahli DAP ini malaikat?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Mengikut pertuduhan, Guan Eng ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang didakwa telah secara rasuah meminta bagi dirinya suatu suapan, iaitu balasan berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Ia sebagai upah bagi membantu syarikat milik Zarul dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Mahkamah membenarkan bekas Menteri Kewangan itu diikat jamin RM1 juta dengan dua orang penjamin.

Atas sebab itu, DAP melancarkan kempen solidariti bagi meraih dana untuk membantu pembayaran mengikat jamin Guan Eng.

Membidas usaha parti itu, Firdaus menyifatkan solidariti yang dilancarkan DAP seperti tidak tepat, memandangkan Guan Eng adalah antara Ahli Parlimen terkaya di Malaysia.

“Namun menyeru orang ramai menderma RM10 untuk bersolidariti dengan Lim Guan Eng sedangkan dia mengisytiharkan pendapatan bulanannya sebanyak RM86,464.92, iaitu terkaya di antara semua Ahli Parlimen di Malaysia?

“Bukankah ini seperti orang duduk banglo bernilai RM2.8 juta meminta derma dari penduduk PPR atau orang pendapatan kurang darinya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button