Berita Utama

DAP kecewa reaksi negatif PN isu dana RM20 juta bina SJKC

Nie Ching tuntut Presiden MCA kota janji dapatkan bantuan

KUALA LUMPUR, 18 Zulhijjah 1441H, Sabtu – Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching mempersoalkan, sama ada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil keputusan untuk tidak menyalurkan peruntukan kepada pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Poay Chai di Johor.

Menerusi kenyataan akhbar Nie Ching Rabu lepas, berdasarkan jawapan yang beliau peroleh di Parlimen pada 27 Julai sehingga ke hari ini, KPM masih belum menerima permohonan dari jawatankuasa kecil pembinaan.

Beliau berkata, Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pembinaan SJKC Poay Chai, Wong You Fong yang juga Ketua MCA daerah Pulai telah menunjukkan peta pembinaan SJKC Poay Chai terkini pada sidang media 4 Julai lepas, sambil memberitahu akan menambah bilangan kelas daripada 36 ke 48 buah.

Kata bekas Timbalan Menteri Pelajaran itu lagi, selepas Pakatan Harapan (PH) memerintah sepatutnya sebanyak RM20 juta diperuntukkan setiap tahun untuk tujuan pembinaan SJKC.

Katanya, jumlah peruntukan yang telah disalurkan kepada SJKC Poay Chai setakat ini sebanyak RM4 juta iaitu RM1.5 juta pada tahun 2018 dan RM2.5 juta pada tahun 2019.

“Rancangan asal adalah untuk menyalurkan RM3 juta kepada jawatankuasa pembinaan pada awal tahun ini.

“Tetapi selepas perubahan pemerintahan, tiada susulan berkenaan peruntukan ini. Saya telah bertanya beberapa kali kepada PN sama ada akan terus memberi peruntukan RM20 juta setahun untuk pembinaan SJKC, tetapi masih belum mendapat jawapan yang positif,” katanya seperti dilapor Kwong Wah Yit Poh.

Tidak berpuas hati dengan perkembangan itu, Nie Ching berkata, bukan sahaja PH yang telah berjanji kerajaan akan menguruskan kos pembinaan SJKC Poay Chai.

Pada bulan Mei tahun 2018, Presiden MCA ketika itu Datuk Seri Liow Tiong Lai dan timbalan presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong juga telah berjanji kerajaan akan menanggung kos pembinaan SJKC Poay Chai yang dipindahkan dari Kedah ke Johor.

“Adakah Menteri Pengangkutan yang juga Presiden MCA akan bersungguh-sungguh mengadakan perbincangan susulan dengan Menteri Kewangan seperti ketika beliau memohon peruntukan untuk UTAR?,” soal Nie Ching.

Pada 2017, Kwong Wah Daily melaporkan, bahawa SJKC Poay Chai sudah tidak beroperasi selama dua tahun kerana tiada pelajar.

Bagaimanapun, SJKC itu mendapat khabar gembira kerana akan dibina semula, lapor akhbar berbahasa Cina Oriental Daily.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button