Berita Utama

Kenapa kerjasama sesama Melayu sering dianggap rasis?

DAP, MCA, Dong Zong boleh kerjasama walau 'berlakon' tikam lidah

BANGI, 18 Zulhijjah 1441H, Sabtu – Parti dan NGO Cina boleh bekerjasama antara satu sama lain demi agenda bangsa mereka, namun mengapa orang Melayu pula dianggap rasis jika berbuat perkara sama.

Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, kerjasama sesama Melayu akan dianggap rasis, sedangkan ia tidak pula berlaku di antara kaum Cina.

Beliau mempersoalkan, kenapa parti dan NGO Melayu di negara ini tidak boleh bekerjasama antara satu sama lain demi memartabatkan agama dan masa depan bangsa.

“DAP, MCA, Gerakan, Dong Zong, Hua Zong dan lain-lain tetap saling bekerjasama walaupun kelihatan berlakon bertikam lidah, bagi menjayakan agenda pendidikan, ekonomi, budaya dan politik bangsa Cina di Malaysia.

“Kenapa parti dan NGO milik orang Melayu dan umat Islam tidak boleh bekerjasama di antara satu sama lain demi memartabatkan agama dan masa depan bangsa?

“Kenapa kerjasama sesama Melayu pula dianggap sebagai rasis?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching yang kecewa dengan reaksi negatif kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhubung peruntukan kepada pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Poay Chai di Johor.

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan itu berkata, selepas Pakatan Harapan (PH) memerintah sepatutnya sebanyak RM20 juta diperuntukkan setiap tahun untuk tujuan pembinaan SJKC.

“Tetapi, selepas perubahan pemerintahan, tiada susulan berkenaan peruntukan ini. Saya telah bertanya beberapa kali kepada PN sama ada akan terus memberi peruntukan RM20 juta setahun untuk pembinaan SJKC, tetapi belum mendapat jawapan positif,” katanya.

Pada bulan Mei tahun 2018, Presiden MCA ketika itu Datuk Seri Liow Tiong Lai dan timbalan presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong juga telah berjanji kerajaan akan menanggung kos pembinaan SJKC Poay Chai yang dipindahkan dari Kedah ke Johor.

“Adakah Menteri Pengangkutan yang juga Presiden MCA akan bersungguh-sungguh mengadakan perbincangan susulan dengan Menteri Kewangan seperti ketika beliau memohon peruntukan untuk UTAR?,” soal Nie Ching.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button