Berita Utama

Kerajaan Perlis laksana TEMCO di 2 kampung di Kuala Sanglang

Akan dilaksana bermula 10 malam ini selama 28 hari

KANGAR, 18 Zulhijjah 1441H, Sabtu – Kerajaan Perlis melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (TEMCO) selama 28 hari bermula malam ini di dua kampung di Kuala Sanglang.

Keputusan itu yang melibatkan Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul berkuat kuasa 10 malam ini hingga 4 September.

Kerajaan Negeri Perlis menerusi satu kenyataan berkata pelaksanaan TEMCO dibuat selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan dengan mengambil kira bilangan kes aktif COVID-19 di kawasan berkenaan.

“Penduduk di kawasan TEMCO diminta memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa,” demikian menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pelaksanaan TEMCO akan mengguna pakai prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sedia ada dengan tambahan kepada pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR) di setiap laluan keluar masuk ke kawasan tersebut.

“Orang awam yang berada di luar kawasan TEMCO tidak dibenarkan masuk kecuali mereka yang terlibat dengan memberikan perkhidmatan perlu,” katanya.

Penduduk di kedua-dua kampung juga diminta mematuhi arahan kuarantin di rumah yang telah dikeluarkan kepada penduduk setelah menjalani ujian saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan Sanglang.

“Sepanjang tempoh arahan kuarantin di rumah, ketua isi rumah dibenarkan keluar dari rumah bagi membeli barang keperluan harian sementara menunggu seluruh ahli isi rumah memperoleh arahan pelepasan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Perlis,” demikian menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan tersebut kerajaan negeri prihatin kesulitan yang dialami dan akan menyalurkan bantuan kepada penduduk di kedua-dua kampung yang terlibat. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button