Berita Utama

Malaysia sumbang RM1 juta bantu rakyat Lubnan: PM

Muhyiddin yakin rakyat Lubnan mampu atasi impak tragedi letupan

BANGI, 18 Zulhijjah 1441H, Sabtu – Kerajaan Malaysia memutuskan untuk menyumbang RM1 juta bantuan kemanusiaan untuk rakyat Lubnan menerusi Pertubuhan Palang Merah Lubnan (LRC).

Bantuan kemanusiaan itu adalah atas dasar semangat persaudaraan akrab dengan Lubnan yang ditimpa tragedi letupan di Pelabuhan Beirut sehingga menyebabkan kemusnahan besar pada 4 Ogos lalu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia turut berkongsi kesedihan dan penderitaan dengan rakyat Lubnan.

“Kerajaan dan rakyat Malaysia menghulurkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang kehilangan orang tersayang.

“Malaysia yakin dan percaya rakyat Lebanon mampu mengatasi impak tragedi dan meneruskan kehidupan dengan kekuatan semangat dan perpaduan berterusan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Agensi Anadolu melaporkan tragedi letupan yang dipercayai berpunca daripada amonium nitrat yang disimpan di gudang di pelabuhan Beirut itu telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 135 orang terkorban, 5,000 cedera manakala puluhan lagi masih hilang.

Letupan di Pelabuhan Beirut memusnahkan seluruh kawasan sekitar bandar yang menganggarkan kerugian sekitar AS$3 bilion hingga AS$5 bilion.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button