Parti baharu Tun M bergabung PH? Misi jatuhkan Muhyiddin, UMNO
Ahli dalam Bersatu umpama 'bom jangka' boleh berubah arah
BANGI, 18 Zulhijjah 1441H, Sabtu – Keputusan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan parti baharu mampu memberi kesan signifikan kepada keutuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Hal ini kerana, parti tersebut yang belum memiliki nama ditubuhkan dengan asas kuat iaitu mahu melemahkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menyerang Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana didakwa mengkhianati Dr Mahathir.
Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali menegaskan, meskipun Dr Mahathir pernah tersalah langkah ketika menjadi Perdana Menteri kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu, namun perlu diingat beliau adalah arkitek di sebalik kejatuhan kerajaan 70 tahun Barisan Nasional (BN).
Disamping itu, katanya, pengikut pemimpin berusia 95 tahun itu di dalam Bersatu juga masih ramai dan mereka seperti ‘bom jangka’ yang boleh beralih arah pada bila-bila masa sahaja.
“Kalau tokoh lain tubuh parti saya tidak bimbang, tapi kalau orang bernama Mahathir nak tubuh satu parti dan kenapa dia masih tak umum nama parti ini kerana dia cuba untuk wujudkan satu impak dalam politik ini.
“Kepada pihak tertentu jangan memandang remeh Dr Mahathir kerana beliau selalu buat kejutan, bacaan politik beliau jauh. Mungkin beliau pernah gagal, tetapi ia akan jadi batas bagi dia,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Selain itu, Mazlan turut meramalkan, parti baharu Dr Mahathir akan menjalinkan kerjasama dengan PH bagi merealisasikan hasrat untuk melemahkan Bersatu termasuk juga UMNO.
Bagaimanapun, katanya, bagaimana bentuk kerjasama atau jalinan politik itu tidak diketahui dan pastinya ia adalah satu lagi kejutan.
“Dia (parti Tun) pasti akan bergabung, saya jangkakan dia akan bergabung dengan Warisan dan juga Pakatan Harapan. Ataupun ada kemungkinan dia dapat juga sokongan dari GPS, ini juga satu kemungkinan yang Tun Mahathir boleh pertimbangkan,” katanya.