Berita UtamaDunia

Remaja Palestin dalam tahanan Israel sah COVID-19

Tahanan Palestin dinafikan hak perlindungan sosial

RAMALLAH, 18 Zulhijjah 1441H, Sabtu – Seorang remaja Palestin yang dijadikan tahanan di penjara Israel telah disahkan positif COVID-19, menurut Defense for Children International-Palestin (DCI-P).

Ini terjadi setelah Mahkamah Agung Israel memutuskan awal bulan lalu bahawa tahanan Palestin tidak berhak mendapat perlindungan sosial terhadap coronavirus.

Ekoran itu, sekurang-kurangnya 30 pengawal penjara Israel dan tujuh tahanan Palestin telah disahkan positif COVID-19 setakat ini.

Remaja lelaki berusia 15 tahun dari Kem Pelarian Al-Jalazoun di bandar Ramallah di Tebing Barat ditahan kurang dari dua minggu yang lalu dan dibawa ke Penjara Shikma di Ashkelon, Israel Selatan, untuk disoal siasat, menurut peguam, Iyad Misk.

Mahkamah Tinggi Israel menolak petisyen yang dibuat oleh Adalah – Pusat Undang-Undang untuk Hak-hak Minoriti Arab yang meminta pihak berkuasa penjara untuk melaksanakan garis panduan perlindungan COVID-19 untuk tahanan di penjara Gilboa di Israel Utara yang menempatkan sekitar 450 orang Palestin.

Israel secara konsisten gagal memberikan perkhidmatan pencegahan asas kepada tahanan sejak awal wabak ini, dan bahkan menarik beberapa produk makanan dan kebersihan dari komisari penjara.

“Dengan memanjang penahanan remaja lelaki ini, pihak berkuasa Israel secara sengaja membahayakan kesihatan dan kesejahteraannya bersama dengan kesihatan tahanan lain. 

“Pihak berkuasa Israel mesti segera membebaskan semua tahanan kanak-kanak Palestin,” tegas pengarah program DCI-P, Ayed Abu Eqtaish.

Seramai 160 kanak-kanak Palestin ditahan tentera rejim pengganas Israel pada bulan Jun, dan seramai 700 kanak-kanak Palestin dari Baitulmaqdis Timur dipenjara tahun lalu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button