Berita Utama

Penceroboh kawal ketat kebun haram cabar perundangan!

Kerajaan negeri diminta bertegas pertahan tanah orang Melayu

BANGI, 26 Jamadilawal 1442H, Ahad – Tindakan penceroboh kebun haram di Raub mengawal ketat kawasan terokaan mereka seumpama mencabar kerajaan negeri dan mahkamah.

Penceroboh berkenaan tidak sepatutnya bertindak sedemikian kerana mahkamah masih belum memutuskan tanah tersebut menjadi hak milik mereka.

Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia, Hussin Awang Ngah mendakwa, sudah terang lagi bersuluh bahawa mereka menceroboh tanah kerajaan bukan untuk setahun dua namun sudah berpuluh tahun lamanya.

“Kita nampak kalau dia buat pengawalan di pintu masuk kawasan tanah berkenaan, seolah-olah dia nak cabar undang-undang.

“Selaku bekas polis saya lihat perkara ini tidak wajar dan sepatutnya kita serah kepada mahkamah sebab mahkamah pun dalam prosiding,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Hussin tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa beliau terhadap kerajaan negeri yang gagal bertindak tegas terhadap penceroboh.

Katanya, kerajaan negeri memiliki kuasa yang cukup di bawah perundangan untuk bertindak terhadap penceroboh namun malangnya ianya tidak seperti diharapkan.

Katanya lagi, sedangkan seorang bekas tentera mahu meneroka tanah kerajaan pun dikenakan tindakan tegas, inikah pula mereka yang sudah bertapak di kawasan berkenaan sejak sekian lama.

“Kita nak sekarang tanah milik Melayu ini mesti dikekalkan, di mana silapnya saya pun tak tahu, saya tak nak tuding jari pada mana-mana pihak.

“Ikut prosedur biasa bila kes di bawah mahkamah, kawasan berkenaan dijaga terlebih dahulu oleh pasukan keselamatan. Tapi nampaknya peneroka yang buat kawalan.

“Dalam konteks ini kita berharap pihak berkenaan khususnya kerajaan negeri dan PTG (pejabat tanah dan galian negeri) supaya mengambil suatu langkah yang positif demi menjaga kepentingan tanah berkenaan,” katanya lagi.

Terdahulu, Pertubuhan Pembela-Pembela Islam Malaysia (PEMBELA) mendedahkan, penceroboh tanah kerajaan negeri Pahang di daerah Raub didakwa mengawal ketat setiap penjuru kawasan diceroboh termasuk sekitar simpang masuk.

Perkara berkenaan didedahkan mereka selepas meninjau kawasan yang dijadikan kebun durian Musang King secara haram itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button