Berita Utama

Laporan polis dibuat tentang berita palsu berkenaan Pak Lah

Tular mesej palsu kaitkan kematian bekas Perdana Menteri itu

KUALA LUMPUR, 19 Zulhijjah 1441H, Ahad – Pegawai Khas Tun Abdullah Ahmad Badawi Datuk Jefridin Atan hari ini berkata beliau sendiri akan membuat laporan polis terhadap mesej tular palsu yang mengaitkan kematian bekas perdana menteri itu.

Jefridin berkata beliau memandang serius berkenaan mesej tular berkenaan dan akan menghadirkan diri untuk membuat laporan polis pagi esok di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Putrajaya.

“Perkara ini tidak boleh dibiarkan, mesej tular palsu ini adalah fitnah semata-mata dan menyusahkan rakyat. Sepatutnya rakyat memohon doa agar Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) panjang umur dan sihat sejahtera di samping keluarga.

Kematian bukan isu yang boleh dimainkan. Saya akan serahkan kepada polis untuk membuat siasatan lanjut tentang perkara ini,” katanya ringkas kepada Bernama.

Sementara itu, bekas setiausaha akhbar Abdullah, Teoh Ai Hua ketika dihubungi berkata beliau berkesempatan berjumpa dengan Pak Lah di kediamannya baru-baru ini.

“Pak Lah sihat sahaja ketika saya berjumpa tempoh hari, saya pun tidak faham kenapa rakyat menularkan mesej tidak benar ini. Janganlah berbuat demikian,” kata Teoh yang kini merupakan Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Hari ini, sekali lagi netizen dihidangkan dengan berita palsu menerusi penularan tangkap layar paparan Facebook yang mengaitkan kematian Pak Lah.

2 Ogos lepas, mesej yang sama turut digembar-gemburkan dan Jefridin yang mewakili Pejabat Tun Abdullah Ahmad Badawi menafikan berita tular berhubung keadaan kesihatan bekas pemimpin negara itu dan menyatakan Pak Lah berada dalam keadaan sihat.

Abdullah Badawi, 81, adalah Perdana Menteri Malaysia kelima dari tahun 2003 hingga 2009. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button