4 Ahli Parlimen Lubnan letak jawatan protes tragedi Beirut
Letupan itu akan membawa kelahiran baharu kepada Lubnan
BEIRUT, 19 Zulhijjah 1441H, Ahad – Empat Ahli Parlimen Lubnan meletak jawatan di tengah kemarahan rakyat yang semakin meningkat berikutan tragedi letupan besar melanda Pelabuhan Beirut awal minggu ini.
Tiga daripadanya adalah Ahli Parlimen Parti Kataeb Lubnan dan seorang anggota Bebas.
“Kami dan beberapa anggota Parlimen terhormat lain akan menanggalkan perlindungan elit (politik),” kata Ahli Parlimen Nadeem Gemayel setelah pengundurannya.
Bercakap ketika majlis pengebumian Setiausaha Agung Parti Kataeb, Nizar Najarian, Gemayel berkata, letupan Beirut akan membawa kelahiran baharu kepada Lubnan.
Parti Kataeb hanya mempunyai tiga kerus di Parlimen Lubnan – daripada 128 anggota Parlimen.
Sementara itu, Ahli Parlimen wanita, Paula Yacoubian juga mengumumkan pengundurannya, dan meminta anggota lain turut berbuat perkara sama.
“Penentangan daripada dalam tidak lagi berguna,” katanya di Twitter.
Awal minggu ini, Ahli Parlimen dari Gabungan Demokratik, Marwan Hamadeh mengumumkan meletak jawatan sebagai protes terhadap letupan yang mengorbankan lebih 150 nyawa itu.
Dalam kejadian 4 Ogos lalu, sekurang-kurangnya 154 orang terbunuh dan hampir 7,000 cedera dalam letupan yang menyebabkan kemusnahan teruk kepada bandar itu.
Pihak berkuasa mengesahkan letupan berpunca daripada 2,750 tan ammonium nitrat yang disimpan secara tidak selamat di pelabuhan berkenaan sejak enam tahun lalu. – Agensi