Berita Utama

Bukit St Paul: Bantahan datang dari pihak berminda penjajah?

Pemuda ISMA lancar kempen ‘Tukar Nama Asal, Hapus Jejak Penjajah’

MELAKA, 19 Zulhijjah 1441H, Ahad – Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) melancarkan kempen ‘Tukar Nama Asal, Hapus Jejak Penjajah’ demi mempertahankan sejarah asal Bukit St Paul sebagai Bukit Melaka.

Jawatankuasa Gerakan Massa Pemuda ISMA, Mohd Soufi Anual berkata, selain menyokong usul Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) menukar nama asalnya, kempen itu juga adalah permulaan sempena sambutan bulan kemerdekaan ke-63 tahun.

Beliau berkata, kempen yang dilancarkan bermula hari ini akan berlangsung sepanjang Ogos sehingga sambutan Hari Malaysia pada 16 September nanti.

“Ada banyak program yang akan kita adakan, antaranya kemuncak iaitu Malam Pejuang, di mana kita mengumpulkan pengkaji sejarah, pejuang Melayu dan NGO yang ingin bersama dalam kempen ini.

“Justeru, kita menyeru seluruh rakyat Malaysia yang cakna, prihatin dan cintakan negara untuk turut bersama dengan kempen tukar nama asal bukit ini,” katanya dalam sidang media di Bandar Hilir, hari ini.

Mohd Soufi berkata, separuh daripada pengunjung dan peniaga yang di bukit berkenaan mahu nama asalnya digunakan iaitu Bukit Melaka.

“Apa yang mendukacitakan kita bangunan penjajah ini tidak boleh dimusnahkan kerana ia telah digazet. 

“Sedangkan penjajah yang datang ke tanah ini dahulu pernah merobohkan peninggalan asal kita seperti istana, masjid dan kubur Melayu untuk dibina kota mereka.

“Sudahlah tidak boleh dirobohkan, lebih mendukacitakan kita perlu pelihara pula bangunan peninggalan penjajah ini,” katanya.

Mengulas penentangan parti tertentu terhadap cadangan penukaran nama itu, Mohd Soufi mempersoalkan, apakah pihak berkenaan masih berminda penjajah atau membawa agenda mereka.

“Kalau mereka ini betul-betul mengaku rakyat Malaysia, cintakan tanah air sepatutnya bersama dengan arus yang kita bawa.

“Kerana inilah yang sepatutnya diperjuangkan oleh anak bangsa yang bangga dan cakna dengan tanah air,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button