Berita Utama

COVID-19: 2 kluster baharu dikesan, Kluster Kurau, Meranti

Punca jangkitan kluster ini masih dalam siasatan pihak KKM

KUALA LUMPUR, 19 Zulhijjah 1441H, Ahad – Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti dua kluster baharu COVID-19 iaitu Kluster Kurau dan Kluster Meranti.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua kes positif dikesan dalam Kluster Kurau dengan kes pertama dilaporkan pada 7 Ogos lalu.

“Kes kedua kluster ini (iaitu kes ke-9,082) merupakan abang ipar kepada kes ke-9,050, di mana dia telah dikesan hasil aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat.

“Susulan itu, dia sekeluarga yang berada di Pulau Pinang turut disaring. Pada 9 Ogos 2020, dia dikesan positif COVID-19 manakala, ahli keluarganya yang disaring setakat ini iaitu lima orang pula negatif,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Setakat ini, 115 individu kontak rapat telah disaring dan daripada jumlah itu, 106 negatif manakala sembilan lagi masih menunggu keputusan.

“Pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih diteruskan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Kluster Meranti pula dikesan membabitkan kes ke-9,083 iaitu seorang petugas kesihatan yang disahkan positif COVID-19 pada 8 Ogos 2020.

“Beliau mempunyai kontak kepada kes ke-8,968, iaitu kes COVID-19 yang telah dikesan hasil daripada saringan prapembedahan (kes ini telah dilaporkan pada 31 Julai 2020).

“Setelah disiasat, kes ke-8,968 didapati pernah mempunyai sejarah mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan di mana kes ke-9,083 telah bertugas,” tambahnya lagi.

Justeru, katanya, saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif sedang dijalankan dengan 15 individu telah disaring sehingga kini.

Katanya lagi, punca jangkitan kluster ini masih dalam siasatan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button