Berita Utama

Judi haram Sg Buloh: Pihak berwajib jangan pejam sebelah mata

Dulu kawasan ini aman tenteram, kini jadi sarang kegiatan jenayah

BANGI, 19 Zulhijjah 1441H, Ahad – Kesemua premis judi haram yang terdapat di Sungai Buloh, Selangor perlu ditutup dan disita dengan segera.

Pada masa sama, pihak yang bertanggungjawab menjalankan operasi haram itu juga perlu dibawa ke muka pengadilan.

Demikian desakan Presiden Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia (Sukarelawan Malaysia), Isham Jalil susulan kebimbangan terhadap peningkatan kejadian jenayah terutama kecurian, pecah rumah dan perjudian haram sejak akhir-akhir ini.

Katanya, kes yang meningkat di Sungai Buloh itu juga berkemungkinan berlaku disebabkan oleh pertambahan penduduk yang mendadak di kawasan berkenaan dengan pembukaan kawasan-kawasan perumahan baharu.

“Dahulu kawasan ini amat aman dan tenteram, namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini kegiatan jenayah semakin meningkat.

“Pertambahan penduduk dan pendatang asing di kawasan Sungai Buloh ini juga telah meningkatkan kadar jenayah. 

“Bahkan, banyak kedai judi haram dilaporkan beroperasi secara terang-terangan di Sungai Buloh sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” dakwanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ditambah pula dengan penularan pandemik COVID-19 yang memberi kesan ekonomi kepada ramai pihak, kegiatan negatif ini, menurut Isham, menjadi semakin teruk. 

“Ramai orang yang kehilangan pekerjaan, termasuklah pendatang-pendatang asing yang datang ke Malaysia dahulu untuk mencari kerja, menggunakan sedikit wang yang tinggal dalam poket mereka untuk berjudi.

“Apabila mereka kalah judi dan dalam keadaan terdesak, sebahagian daripada mereka terdorong pula untuk melakukan jenayah seperti mencuri, menyamun dan memecah rumah.

“Akibat daripada gejala ini penduduk-penduduk di Sungai Buloh kini tidak lagi berasa selamat. Ini adalah masalah sosial yang kritikal yang berlaku di Sungai Buloh,” katanya.

Isham berkata, beliau yakin kejadian yang sedemikian juga banyak berlaku di kawasan lain di negeri Selangor.

Sehubungan itu, beliau menyarankan, supaya kerajaan terutama pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan tegas ke atas masalah ini dan bukan hanya memberikan alasan demi alasan untuk menutup kelemahan sebenar.

Beliau menegaskan, pihak polis dan imigresen juga perlu membantu dengan lebih aktif dalam menyelesaikan masalah berkenaan.

Bukan hanya pihak berkuasa, Isham turut menyeru wakil rakyat yang dipilih seperti Yang Berhormat Sivarasa iaitu Ahli Parlimen Sungai Buloh, Mohd Khairuddin Othman (ADUN Paya Jaras), Shatiri Mansor (ADUN Kota Damansara) dan Menteri Besar Selangor supaya lebih sensitif berkenaan masalah rakyat di kawasan mereka dan membawa perkara ini ke peringkat dasar kerajaan.

“Mereka perlu serius dalam menyelesaikan isu ini kerana ia melibatkan ketenteraman dan keselamatan rakyat.

“Mereka tidak boleh lagi hanya melepaskan batok di tangga atau memejam sebelah mata tentang masalah yang selama ini berlaku.

“Jika tidak, keadaan kehidupan penduduk di Selangor terutama di kampung halaman saya di Sungai Buloh ini akan menjadi semakin lama semakin buruk,” tegasnya.

Semalam, tular satu video oleh seorang lelaki menerusi sebuah laman di Facebook yang mendakwa, terdapat premis perjudian dan aktiviti haram di sekitar kawasan perindustrian Sungai Buloh yang tidak diambil tindakan oleh pihak penguat kuasa.

Lelaki itu bertindak demikian selepas tidak berpuas hati beberapa gerai yang menjual burger pada waktu malam disita oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sedangkan, beberapa kedai haram milik warga asing dan kedai perjudian dibiarkan beroperasi tanpa tindakan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button