Laporan akhir UEC diserah kepada KPM bulan ini
Sejak ditubuhkan, PPDUEC tak pernah hantar laporan kepada KPM
PETALING JAYA, 19 Zulhijjah 1441H, Ahad – Pengerusi Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu (PPDUEC), Eddin Khoo mendedahkan, pihaknya sudah menghubungi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan akan menyerahkan laporan kajian akhir UEC pada bulan ini.
“Laporan ini telah lama siap, tetapi dalam tempoh PKP, kami tidak dapat berbuat apa-apa.
“Saya juga tidak dapat menyerahkan laporan ini melalui panggilan video Zoom. Tetapi yang pastinya kami akan selesaikan hal ini dalam bulan ini (menyerahkan laporan kepada KPM),” katanya.
Menerusi temu bual bersama akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily, Eddin berkata, PPDUEC terlebih dahulu akan berjumpa KPM sebelum membuat permohonan bertemu Menteri Pendidikan.
Beliau berkata, tarikh pelantikan ahli PPDUEC berakhir pada 29 Februari lalu, tetapi sebelum tamatnya tarikh lantikan, mereka telah menjalankan sesi temu bual termasuklah mengumpul pendapat serta pandangan penting dari wakil-wakil di Sabah dan Sarawak.
“Walaupun PPDUEC sudah tidak wujud lagi dan tidak menjalankan apa-apa aktiviti, kami tetap akan menyerahkan laporan kajian kepada KPM,” katanya.
Bagaimanapun, Khamis lalu menerusi jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, Menteri Pendidikan, Mohd Radzi Md Jidin menyatakan sepanjang tempoh pelantikan ahli PPDUEC, KPM tidak pernah menerima sebarang laporan kajian mengenai UEC.
Menurut beliau, PPDUEC telah diberi masa tiga hingga enam bulan untuk menyerahkan laporan, malah tarikh akhir untuk penyerahan laporan telah pun dilanjutkan enam kali selama 16 bulan sehinggalah Februari 2020.
Namun, katanya, PPDUEC masih belum menyerahkan laporan berkenaan kepada KPM.
Mohd Radzi berkata, oleh kerana tempoh kajian tidak dilanjutkan selain tarikh tamat lantikan PPDUEC ialah pada 29 Februari, maka lantikan ahli PPDUEC juga tamat pada tarikh tersebut.
Selepas Pakatan Harapan (PH) memegang tampuk pemerintahan, Kabinet mengarahkan PPDUEC ditubuhkan pada Oktober 2018 bagi mengkaji persoalan yang timbul mengenai UEC.
Menteri Pendidikan pada ketika itu, Dr Maszlee Malik melantik tiga ahli PPDUEC yang telah memulakan kajian semenjak 29 November 2018.
Ahli PPDUEC terdiri daripada Eddin sebagai pengerusinya, Presiden ABIM. Mohamad Raimi dan Naib Pengerusi Dong Zong, Datuk Tan Yew Sing
Kata Eddin, beliau menulis laporan itu sendiri, sementara dua lagi ahli memberi pandangan dan nasihat.
Kata beliau lagi, laporan berkenaan mengandungi lebih dari 10,000 patah perkataan.
Kandungan laporan itu difahamkan mengandungi maklumat mengenai penerima manfaat termasuklah pandangan dan pendapat dari pertubuhan dan individu mengenai UEC, pada masa sama menjelaskan pelbagai persoalan yang timbul mengenai UEC.