Berita Utama

Logo elemen kesatuan rakyat dipilih untuk Kempen Pembudayaan Norma Baharu

Kesatuan rakyat berbilang kaum lawan COVID-19 jadi elemen logo

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 19 Zulhijjah 1441H, Ahad – Logo dan slogan ‘Bersama Hentikan Wabak COVID-19’ ciptaan Mohd Nor Fakihin Aqsa Mohd Nor Azam dipilih untuk digunakan dalam Kempen Pembudayaan Norma Baharu yang dirasmikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Logo berkenaan mendapat tempat pertama dalam Pertandingan Mencipta Logo dan Tagline Kempen Pembudayaan Norma Baharu, anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia bermula 1 hingga 10 Julai lalu.

Mohd Nor Fakihin, 28, berkata, beliau tidak menyangka logo ciptaannya dipilih antara 2,150 penyertaan lain yang diadili.

Memanjatkan rasa syukur atas kemenangan itu, beliau berbangga karyanya akan diguna pakai sepanjang tempoh kempen berlangsung.

“Pertandingan ini dikongsikan oleh kakak saya yang juga seorang doktor perubatan. Beliau menggalakkan saya menyertai.

“Alhamdulillah, saya tidak sangka rezeki saya dipilih dan menang antara lebih 2,000 penyertaan logo lain,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Meskipun tidak berkhidmat sebagai petugas barisan hadapan, Mohd Nor Fakihin berkata, beliau berbangga kerana boleh menyumbang idea kreatifnya kepada negara dalam melawan wabak ini.

Bercerita lanjut, beliau mengambil masa selama seminggu untuk mencari idea menghasilkan logo berkenaan, dan turut menghantar beberapa ciptaan logo lain.

“Kebanyakan logo yang dihantar itu ideanya lebih kurang sama, namun yang dipilih adalah yang ini.

“Dalam idea itu saya mengutamakan elemen kesatuan rakyat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang penularan wabak,” katanya.

Mohd Nor Fakihin,28, menerima wang tunai berjumlah RM5,000 yang disampaikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

Pada masa sama, beliau turut menerapkan simbol bintang yang terdapat dalam Jalur Gemilang sebagai lambang negara Malaysia, mewakili seluruh negeri dan wilayah.

“Alhamdulillah, saya mendapat tempat pertama dan menerima hadiah berupa wang tunai RM5,000. 

“Hadiah ini adalah rezeki untuk saya yang kini dalam fasa mencari pekerjaan selepas memutuskan berhenti menyambung pengajian PhD atas faktor kewangan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button